Keluarga Anita Sarawak masih belum menerima sebarang khabar daripada penyanyi itu meskipun baru-baru ini tersebar satu dokumen urusan jual beli rumah di Las Vegas, Amerika Syarikat yang didakwa miliknya dalam sebuah portal hiburan.
Adik tiri kepada penyanyi lagu Seksis itu, Noorkumalasari (gambar kecil), 61, ketika dihubungi Kosmo! semalam enggan memberikan komen lanjut berkenaan hal tersebut.
“Maaf, saya tidak mahu memberikan komen lanjut tentang hal itu. Saya tidak tahu langsung tentang cerita Anita kerana sudah tidak mendapat khabar daripadanya sejak Aidilfitri lalu,” ujarnya.
Anita dan suaminya, Mohamad Mahathir Abdullah didakwa telah menjual kediaman mereka di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) dengan harga AS$350,000 (RM1.5 juta) kepada pasangan Lawrence dan Roselinda Cohen pada Julai lalu.
Salah satu dokumen yang dikatakan mengenai penjualan kediaman Anita di Las Vegas pada Julai lalu yang tersebar di sebuah portal hiburan baru-baru ini.
Dalam pada itu, timbul cerita mengatakan Anita dan suami baru membeli sebuah kediaman dengan harga AS$326,509 (RM1.4 juta) pada awal Oktober lalu.
Kediaman baharu pasangan tersebut dikatakan terletak di 8652 Jenely Bay Street, Las Vegas iaitu kira-kira 22 minit dari Las Vegas Strip namun masih dalam proses pembinaan.
Anita, 65, sudah lama mendiamkan diri dan memutuskan hubungan dengan keluarganya di tanah air sejak tahun 2013.
“Di mana pun Anita berada sekarang, saya sentiasa mendoakan beliau berada dalam keadaan baik dan keluarganya di sini (Malaysia) amat merinduinya,” ujar Noorkumalasari yang popular dengan lagu Mata.
Anita atau nama sebenarnya, Ithnaini Mohd. Taib merupakan anak kepada pasangan biduanita filem Melayu klasik, Allahyarham Siput Sarawak dan S. Roomai Noor.
Penyanyi kelahiran Singapura yang popular dengan lagu Akhirnya Kini Pasti itu sebelum ini aktif membuat persembahan di Las Vegas dan beberapa bandar di AS sekitar 1985 hingga 2001.