Marsha (kiri), Syamel, Bob, Idayu, dan Shahir akan berentap buat kali terakhir pada konsert AF Megastar yang berlangsung pada malam Ahad ini.
Selepas tujuh minggu konsert AF Megastar berlangsung, lima penyanyi iaitu Idayu, Bob, Marsha, Syamel dan Shahir akan menghitung nasib pada konsert akhir pada Ahad ini untuk menentukan siapa yang layak diangkat sebagai juara pertandingan nyanyian tersebut.
Barangkali ramai yang meramalkan bintang Akademi Fantasia 3 (AF3), Idayu mempunyai peluang cukup cerah untuk dinobatkan sebagai juara. Namun, tidak harus dilupakan bahawa Bob yang lahir menerusi AF2 turut mempunyai peluang sama rata kerana sering menghadirkan persembahan konsisten setiap minggu.
Tidak ketinggalan, Marsha dilihat mempunyai pakej lengkap untuk memberi saingan hebat kepada dua peserta kegemaran itu.
Kemaraan Syamel di pentas akhir pula sudah dijangka walaupun dua minggu sebelum final, persembahannya agak menggusarkan sementelah Shahir bernasib baik berjaya maju sebagai antara lima finalis walaupun pembabitannya pada konsert akhir menimbulkan banyak kritikan dalam kalangan khalayak.
Relevan markah
Dengan pemilihan lima peserta tersebut, Amir dan Amir J terpaksa disingkirkan selepas memungut markah terendah pada peringkat separuh akhir minggu lalu.
“Bagi saya, mereka telah melakukan yang terbaik dan walaupun tidak berjaya melangkah ke peringkat akhir atau menang, mereka telah membuktikan sesuatu dalam kerjaya sebagai penyanyi.
“Amir misalnya, walaupun paling junior namun mampu bersaing sampai ke peringkat separuh akhir dengan abang dan kakak yang jauh lebih berpengalaman. Amir J pula telah berjaya membuktikan kepada peminat bahawa dia adalah penyanyi dan pemuzik yang baik,” ujar juri tetap, Syafinaz Selamat.
Ditanya tentang markah para peserta yang hanya sekitar 50 hingga 60 peratus setiap minggu, Syafinaz berkata, bukan mudah untuk mendapat markah penuh.
“Tiga peserta yang konsisten ialah Bob, Idayu dan Marsha. Syamel harus terus menggandakan usaha kerana dua minggu terdahulu, dia asyik salah memilih lagu. Shahir perlu memberi bukti mengapa dia layak ke peringkat akhir kepada juri dan peminat.
“Bukan mudah untuk mendapat markah penuh. Keseluruhan markah turut dipengaruhi undian peminat. Kita (juri) telah memberikan markah yang terbaik setiap minggu dan siapa yang layak sahaja terus kekal dalam pertandingan,” ulas Syafinaz yang sentiasa menekankan tentang pemilihan lagu yang tepat terutama pada konsert akhir.
Peminat
Menjawab soalan sama, Ketua Program Realiti & Format Astro, Namanzee Harris berkata, pihaknya mencuba yang sehabis baik untuk melazimkan sistem pemarkahan yang sepatutnya bersifat 100 peratus daripada undian peminat berdasarkan program asal, La Academia.
“Kalau diikutkan, AF bukan sahaja program yang mencari bakat nyanyian. Bintang AF Megastar juga memerlukan sokongan peminat yang kuat untuk terus mara dalam pertandingan ini.
“Setakat ini, 90 peratus ramalan dalam media sosial menjadi kenyataan apabila peserta-peserta ‘kegemaran’ menempah tempat ke peringkat akhir. Hal ini membuktikan, mereka mempunyai kelab peminat yang kuat di samping berjaya mencuri hati juri,” kata Namanzee.
Konsert akhir yang bermula pukul 9 malam dan ditayangkan menerusi saluran Astro Ria (104) akan menyaksikan lima finalis menyanyikan dua lagu termasuk mendendangkan satu lagu baharu kerjasama dengan komposer pilihan masing-masing.
Hadiah
Sementara itu, Namanzee menambah, kelainan akan berlaku dalam AF Megastar iaitu hanya juara yang akan diumumkan.
“AF Megastar sedikit berbeza dengan pertandingan lain kerana tiada pemenang tempat pertama, kedua atau seterusnya sebaliknya nama juara sahaja yang akan diumumkan.
“Namun akan ada kelainan yang akan dilakukan nanti, harap boleh bersabar untuk menantikannya,” katanya yang turut memberitahu setiap peserta akan pulang dengan habuan masing-masing.
Juara AF Megastar bakal menerima hadiah wang tunai sejumlah RM100,000 dan sebuah trofi daripada Astro serta pakej percutian tajaan SelamatBercuti.com.