Thanuja Ananthan Sudah Jatuh Cinta


Bekas Ratu Cantik Malaysia 2009, Thanuja Ananthan tidak akan beralih ke bidang lain kerana mengakui sudah jatuh cinta dengan lakonan.

Malah kata Thanuja, pencalonan awal diterimanya menerusi Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) menerusi filem Temuan Takdir baru-baru ini menjadikan dia lebih yakin untuk terus berlakon.

"Walaupun hanya pencalonan awal tetapi ia seperti satu pengesahan yang saya diterima sebagai pelakon dan meningkat keyakinan saya untuk terus mengorak langkah sebagai pelakon.

"Sejak pertama kali mencuba berlakon dalam Temuan Takdir saya sudah jatuh cinta dan sejak itu sentiasa mencari peluang untuk berlakon," katanya.

Dalam pada itu, Thanuja berkata, bergelar pelakon memberi peluang kepadanya untuk menerokai tentang dirinya sendiri dalam menghidupkan watak diberikan.


Thanuja juga meminati bidang pengacaraan.

Thanuja juga berharap dapat diberi peluang mencuba watak berbeza dan bukannya peranan tipikal hanya berdasarkan kepada penampilan dirinya.

"Saya kalau boleh tidak mahu membawakan watak wanita seksi atau gadis liar sebaliknya ingin lari daripada kebiasaan dan mengimpikan peranan mencabar," ujarnya.

Sementara itu, Thanuja berkata, meskipun kini aktif berlakon namun dia belum berhasrat untuk meninggalkan dunia peragaan yang masih menjadi keutamaannya.

"Sekarang saya separuh bersara daripada bidang peragaan tetapi saya masih aktif sebagai model cuma perhatian saya sekarang kepada lakonan dan pengacaraan," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post