Tak Sembunyi. Hamil bukan anak kembar, kata Siti, beliau tidak akan menyembunyikan jantina bayi dalam kandungannya daripada pengetahuan umum.
“Saya positif dan yakin Allah akan beri rezeki suatu hari nanti,” begitu ujar Datuk Siti Nurhaliza penuh terharu merujuk kepada kehamilannya yang kini memasuki usia empat bulan.
Penyanyi tersohor negara yang juga digelar banyak orang sebagai puspita hati itu duduk di kerusi baldu merah empuk, tidak lekang dengan senyuman dan basah bibirnya mengucap syukur tanpa henti.
Dikerumuni rakan wartawan, Siti, 38, kelihatan bagai kelompak mawar merah yang sedang berkembang dan menebarkan wanginya. Begitulah, jika boleh diungkapkan tentang emosi Siti dalam bahasa sastera. Berseri-seri dan manis sekali. Juga, bicaranya bersulam bahagia menjawab persoalan yang dilontarkan media usai beliau membuat pengumuman tentang kehamilannya secara langsung dalam laman sosial yang dapat diikuti oleh peminatnya di seluruh pelusuk dunia.
Ya, sebaik Siti memadamkan spekulasi tentang kehamilan keduanya yang menjadi pertanyaan sejak beberapa bulan lalu, berita itu umpama butiran bintang jatuh ke bumi dan memberi sinar kepada seluruh alam.
“Saya kini hamil empat bulan. Alhamdulillah, tiada kata yang dapat menggambarkan rasa syukur dan gembira kerana Allah memberikan kurniaan yang terlalu agung ini selepas 11 tahun kami bersabar,” ujar Siti dengan suara sedikit bergetar antara menahan rasa gembira dan syukur.
Beliau kemudian ralit menyambung bicara. Katanya yang mengaku mengalami alahan sepanjang tiga bulan pertama kehamilan termasuk duduk di kerusi roda kerana tidak boleh melakukan banyak pergerakan, sebagai wanita yang pertama kali mengandung, perasaan itu sukar diungkap dengan kata-kata.
“Jadi, begini perasaan dan rasanya ibu-ibu kita hamil dahulu. Besar sungguh pengorbanan ibu kita. Ada alahan, sesekali sakit pinggang dan bahagian belakang serta sudah mula cepat lelah, semuanya saya lalui sekarang. Bagaimanapun tidak mengapa, Alhamdulillah saya bersyukur kerana dapat melalui pengalaman ini,” ujarnya.
Ironi, sejak lebih tiga bulan lalu, Siti memang menghabiskan masa untuk menstabilkan emosi dan memberi fokus terhadap proses kehamilan yang masih berada dalam zon ‘merah’. Selain lebih berhati-hati kerana pernah gugur pada Disember 2015, kehamilannya pada kali ini bukan dilalui secara semula jadi, sebaliknya penyanyi itu melalui kaedah In Vitro Fertilisation (IVF).
Cari. Ujar Datuk K, Siti menjadi lebih manja dan tidak boleh berpisah lama dengannya sejak hamil.
IVF
Ujar Siti juga, beliau tidak mahu menyembunyikan fakta tersebut kerana berasa banyak wanita lain yang menanti begitu lama hanya untuk memperoleh seorang zuriat.
Sementelah, beliau di bawah yayasannya, Yayasan Nurjiwa akan bekerjasama dengan doktor pakar yang membantu dirinya menjalani IVF mahu mendekati golongan wanita yang susah memperoleh zuriat untuk mengikuti rawatan kesihatan sepertinya.
“Saya memang tidak berniat untuk menyembunyikan hal ini (IVF). Saya dan doktor menjalinkan kerjasama untuk membantu golongan wanita untuk memperoleh zuriat dengan cara rawatan seperti saya. Hal itu akan diperincikan sekitar bulan Januari tahun hadapan,” katanya.
Pelantun lagu Aku Bukan Malaikat itu kemudian menegaskan, tindakannya menjalani IVF juga bukan disebabkan masalah faktor kesihatan dirinya atau suami. Sebaliknya, ia lebih kepada faktor kekangan usia yang semakin meningkat.
“Kami tiada masalah kerana kehamilan pertama dahulu merupakan proses yang berlaku secara semula jadi. Hanya pada waktu itu saya keguguran barangkali kerana tidak cukup rehat.
“Untuk kehamilan kedua ini memang saya lakukan IVF kerana memikirkan faktor usia dan tidak mahu menunggu lebih lama lagi.
“Menjawab persoalan orang mungkin pernah berkata saya banyak duit mengapa tidak melakukan usaha seumpama ini, realitinya kami memang berusaha.
“Malah, sebenarnya, ini adalah rawatan kali ketiga selepas saya pertama kali melakukannya pada sekitar usia awal 30-an. Alhamdulillah, mungkin rezeki ia menjadi pada usia sekarang,” katanya yang dinasihatkan banyak berehat dan tidak melakukan perjalanan jauh.
Masih tidak tahu mengenai jantina anak yang dikandungnya, Siti memaklumkan beliau akan berkongsi tentang perkembangan terkini termasuk jantina anaknya apabila tiba waktunya kelak.
Sengaja diusik adakah jika beliau memperoleh anak perempuan akan menggunakan pangkal nama Siti, pantas wanita itu menjawab; “Kalau perempuan, memang pangkal namanya Siti juga.”
Tambah Siti, beliau berharap semua pihak yang berurusan dengan syarikatnya, Siti Nurhaliza Production (SNP) dapat memahami kekekangan yang dihadapinya kini. Menolak tawaran yang datang kepadanya bukan kerana enggan menerima rezeki, tetapi pada kali ini, beliau mahu berkorban untuk dirinya sendiri demi bayi di dalam kandungannya.
“Saya berharap semua pihak yang berurusan dengan SNP dapat memahami keadaan saya. Saya akan berehat untuk beberapa tempoh yang lama pada masa hadapan. Keputusan itu saya ambil kerana mahu memberi fokus terhadap kehamilan ini,” katanya meminta pengertian.
Berehat. Kata Siti, sepanjang trimester pertama hamil, beliau banyak berehat di dalam bilik. Hanya sekali beliau dan suami keluar bersama iaitu pergi menonton wayang.
Wanita kuat
Menyertai temu bual bersama Siti selepas didesak media, Datuk K memanjatkan rasa kesyukuran kerana impian isteri kesayangannya itu dimakbulkan selepas 11 tahun mereka berumah tangga.
Menolak spekulasi kononnya Siti gagal memperoleh cahaya mata sebelum ini kerana kesan kemalangan motosikal yang dialami beliau di New Zealand pada 2012, Datuk K berkata, kejadian itu hanya mencederakan anggota badan dan tidak memberi kesan kepada spermanya.
Tambah usahawan tersebut, ujian pada spermanya selepas kemalangan itu juga menunjukkan ia menjadi lebih aktif disebabkan faktor pengambilan makanan berkhasiat yang diamalkan.
Sebaliknya, bagi lelaki berusia 58 tahun itu, kesabaran dan sikap positif adalah bayaran paling mahal yang telah dibayar oleh Allah buat wanita yang dinikahinya sejak 21 Ogos 2006 itu.
“Siti telah bersedia untuk mempunyai anak sejak tahun kedua kami berkahwin. Beliau melalui pelbagai rawatan daripada moden sehingga ke tradisional. Bayangkan, hanya pada tahun ke-11 usia perkahwinan kami, baru Allah makbulkan. Siti memang seorang wanita yang kuat.
“Justeru apabila beliau hamil sekarang, banyak perkara terutama hal berkaitan karier yang beliau perlu tinggalkan. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kini kami sedang menanti anugerah yang lebih berharga.
“Doakan bayi ini menjadi anak yang sihat dan sempurna serta menggembirakan semua. Semoga kelak menjadi anak yang solehah,” ujar Datuk K yang juga tidak dapat menyembunyikan kebahagiaannya melalui senyuman yang tidak lekang dari bibir.
Ironinya, sesuatu yang berakhir adalah awal sebuah permulaan baharu. Itulah perjalanan dan permulaan baharu yang sedang ditempuhi penuh debar tetapi bahagia oleh Siti.
Berbahagialah Siti kerana seperti mana keyakinan yang tidak pernah surut disandarkan sepenuhnya kepada Allah, begitulah beliau berhak meraikan ‘saham’ yang sedang dipulangkan satu per satu kepadanya dengan begitu tersusun dan luar biasa sekali.
Tahniah Siti, semoga fasa seterusnya lancar dan dapat melahirkan zuriat yang sihat serta sempurna sifat pada Mac 2018 kelak.