Nita Hamzah pening fikir soal kahwin


Nita Hamzah bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Hadirlah Cinta.

Jika dilihat kepada graf perjalanan seni bintang kelahiran program realiti Malaysian Idol 2, Nita Hamzah, mungkin carta pergerakannya boleh diibaratkan ada turun dan naik. Pernah hangat dengan cerita cinta yang tidak menjadi dan penampilan seksi suatu ketika dahulu, bagaimanapun sejak beberapa tahun ini pemilik nama Norhanita Hamzah, 37, dilihat lama menyepi tanpa sebarang khabar berita.

Sehingga pada 13 Ogos lalu, timbul berita pertunangannya bersama jejaka pilihan hati yang dikenali sejak empat tahun lalu, Mohd. Fareez Shamsul Bahari, 29.

Ditemui selepas sidang akhbar pelancaran rancangan realiti masakan Versus 1001 Rasa Baba’s, Nita yang terlibat dalam penghasilan jingle bersama rancangan yang bakal ditayangkan pada 26 Oktober depan itu berkongsi perkembangan terkini dirinya yang ingin membuat kemunculan semula tidak lama lagi.

KOSMO!: Nama Nita agak jarang diperkatakan di dada media sejak kebelakangan ini, boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

Nita: Sebenarnya saya masih bernyanyi seperti biasa cuma mungkin tidak seaktif diperkatakan dalam kalangan media. Pun begitu, jika tiada sebarangan halangan sebelum hujung tahun ini saya akan membuat kemunculan semula dengan sebuah single baharu berjudul Hadirlah Cinta. Lagu ini merupakan ciptaan Sharon Paul dan Iman Imran.

Boleh kongsikan dengan lebih lanjut tentang kemunculan semula anda ini?

Membuat kemunculan semula adalah perkara yang memberi makna cukup besar buat saya. Saya mengambil masa selama setahun untuk berfikir sebelum menerima lagu ini. Saya harap kemunculan ini meninggalkan satu impak kepada peminat dan lagu Hadirlah Cinta merupakan lagu yang betul untuk menaikkan nama saya kembali.

Selain lagu baharu, adakah anda menetapkan beberapa strategi untuk menaikkan nama kembali?

Saya tidak memasang strategi sebaliknya selalu percaya kepada rezeki. Pun begitu, dalam masa sama tetap akan memberikan yang terbaik buat peminat. Bidang nyanyian merupakan minat saya sejak dahulu.

Seperti diketahui, banyak dugaan turun naik dalam industri yang pernah saya lalui. Andai kata wujud rasa putus asa mungkin ia sudah dibuat sejak tujuh tahun lalu. Justeru, saya tiada masalah andai ditakdirkan untuk menghadapi sepak terajang dalam industri ini semula.

Siapa yang membuatkan anda terus kuat untuk membina nama dalam industri tanpa pernah wujud rasa putus asa?

Semestinya orang itu ialah ibu saya. Saya mula menyanyi sejak berumur sembilan tahun dan ibu antara insan yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya nyanyian saya biarpun pernah menerima kritikan daripada masyarakat.

Beralih soal pertunangan anda yang baru sahaja berlangsung pada 13 Ogos lalu, mungkin sudah ada tarikh perkahwinan?

Mengikut perbincangan ketika majlis pertunangan tempoh hari, waktu paling awal untuk kami berkahwin adalah enam bulan dan paling lambat mungkin dalam masa setahun. Buat masa ini kami belum menetapkan sebarang tarikh, biarlah saya menyelesaikan pelancaran single baharu terlebih dahulu. Cuma apa yang boleh dikatakan, majlis perkahwinan mungkin akan diadakan pada bulan Februari atau Mac tahun hadapan.

Bagaimana dengan persiapan perkahwinan setakat ini?

Baru saya tahu mengadakan persiapan untuk perkahwinan sebenarnya sangat memeningkan kepala, terutamanya mencari lokasi yang sesuai untuk majlis kami nanti. Selain itu, saya juga sudah mempersiapkan diri untuk menjadi isteri seperti belajar memasak lauk kegemarannya.

Sebelum bertunang, boleh dikatakan lama juga anda berkawan dengan Fareez. Adakah disebabkan pernah mengalami kegagalan dalam percintaan sebelum ini membuatkan anda mengambil masa yang panjang untuk menerimanya sebagai bakal suami?

Benar saya berkawan dengan Fareez sudah empat tahun. Bagi orang lain, ia merupakan tempoh yang agak lama tetapi tidak buat kami.

Sebenarnya ia bukan berkaitan trauma tetapi banyak perkara yang perlu difikirkan. Jika boleh setiap orang hendak berkahwin sekali sahaja seumur hidup, jadi dalam tempoh empat tahun itu kami melalui proses perkenalan tanpa terburu-buru.

Saya juga kagum dengan kesungguhan tunang dengan usahanya melamar saya menjadi isteri.

Jika tidak keberatan, boleh kongsikan cabaran yang anda berdua hadapi sepanjang tempoh pertunangan ini?

Saya akui bertunang memang banyak dugaannya. Sebagai contoh, terdapat satu masa kami berdua bergaduh berturut-turut dalam seminggu disebabkan hal kecil. Barangkali saya terlalu sensitif dan satu perkara membuatkan saya hormat dengannya adalah sikap positif dan selalu memotivasikan saya membuat kami serasi.

Post a Comment

Previous Post Next Post