Shahir Zawawi AF Megastar bukan pentas main-main


Menerusi persaingan program AF Megastar pada minggu kelima lalu, penyanyi Shahir Zawawi melakukan percaturan berani dengan mempersembahkan lagu Pencuri Hati dengan cara dan kreativiti sendiri.

Lengkap bersama iringan penari, bintang asal Ipoh, Perak itu mengakui bukan tugas mudah apabila memilih lagu dendangan asal Ayda Jebat di dalam pertandingan realiti berkenaan.

Bagaimanapun sebagai anak seni, Shahir atau nama sebenarnya, Ahmad Shahir Zawawi optimis cuba beri yang terbaik dan mengambil setiap kritikan peminat sebagai sandaran untuk melakukan lebih baik minggu ini.

“Insya-ALLAH, saya akan cuba perbaiki mutu nyanyian dari minggu ke minggu. Jujurnya, sekian lama tidak menyanyi di atas pentas besar secara mingguan memberi senario yang sangat berbeza.

"Sesuatu yang besar, bukan sahaja terhadap saya, tetapi juga buat rakan-rakan lain yang masih kekal di dalam persaingan,” katanya yang mengakui rasa bersemangat tiap kali menerima sokongan dan dorongan berterusan daripada peminat setianya.

“Hingga ke saat ini, saya rasa terharu sebab masih ramai sokong kerjaya seni meski saya pernah sunyi daripada radar hiburan tempatan. Jadi bila diberi peluang sehingga ke tahap ini di AF Megastar, ini tugas dan amanah besar daripada peminat juga untuk saya.

“Jadi pastinya, saya juga harapkan doa daripada semua, supaya dapat lakukan lebih baik dalam persembahan akan datang. Apa yang boleh saya cakap, sokongan padu daripada mereka juga secara tidak langsung membuatkan diri ini rasa selesa dan lebih yakin bila berada di pentas berkenaan dari minggu ke minggu,” jelas Shahir kepada Media Hiburan.

Pegang nasihat senior

Sementara itu, penyanyi yang sebelum ini cukup sinonim menerusi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan ini juga menganggap pentas AF Megastar adalah platform besar yang tidak boleh dipandang sepi.

“Saya sedar akan risiko yang bakal dihadapi setiap minggu apabila melakukan persembahan. AF Megastar pun bukanlah pentas yang boleh kita nak ‘main-main. Namun saya berpegang pada nasihat insan-insan seni berjaya.

“Kongsi mereka, setiap kejayaan yang mahu dicapai itu pastinya akan mempunyai risiko baik dan buruk. Jadi mahu tidak mahu, saya perlu berani untuk ambilnya sebagai cabaran,” akui Shahir optimis.

Post a Comment

Previous Post Next Post