Raja Ilya bakal terlibat dalam sebuah filem terbitan Marvel Studios di Amerika Syarikat.
Pelakon Raja Ilya mengeluarkan wang simpanan peribadinya sebagai persediaan bagi menjayakan watak dalam sebuah filem terbitan Marvel Studios di Amerika Syarikat Januari tahun hadapan.
Ilya, 32, berkata, dia tidak kisah melakukan perkara itu kerana menganggap ia sebagai satu pelaburan demi mencipta nama di peringkat antarabangsa.
"Modal yang saya keluarkan daripada wang simpanan saya sendiri itu saya ingin gunakan untuk membeli tiket penerbangan, perbelanjaan harian selain menempah bilik hotel sepanajang berada di sana nanti.
"Saya tidak rasa ia satu pembaziran pun kerana itu adalah pelaburan yang saya lakukan untuk mencipta nama di luar negara," katanya.
Ilya bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah itu namun mengakui jumlahnya agak banyak memandangkan pertukaran wang Ringgit Malaysia (RM) dan Dollar Amerika (AS$) tinggi.
Dalam pada itu, Ilya berkata, ketika berada di sana nanti dia berharap dapat menghadiri sesi uji bakat lakonan di Los Angeles bagi mencuba nasib.
Raja Ilya intai peluang di Hollywood.
"Alang-alang sudah berada di sana baik saya cuba nasib dengan menghadiri uji bakat terbuka sebagai pelakon jika ada waktu terluang.
"Tidak salah mencuba, kalau tidak terpilih pun sekurang-kurannya saya dapat pengalaman menyertai uji bakat di Hollywood," ujarnya.
Sementara itu, Ilya berkata, dia masih belum dapat mendedahkan judul filem terbitan Marvel Studios itu kerana terikat dengan perjanjian dengan pihak produksi.
Malah kata Ilya, dia sendiri tidak tahu butiran lanjut mengenai filem itu kerana ia masih lagi menjadi rahsia namun mengakui sudah menerima skrip.
Sebelum ini, nama Ilya panas apabila dia dikatakan melakukan pembedahan plastik bagi menjayakan peranannya dalam filem tersebut.
Bagaimanapun aktres itu menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menjelaskan dia hanya mahu melakukan pembedahan dikenali EMS (Electric Muscle Stimulation) bagi menghasilkan otot tubuh.