Istimewa buat peminat setia Arrian dan Andra, kini keletah comel anak kepada penyanyi Tomok dan isterinya, Rahayu Abas itu boleh ditonton menerusi rancangan terbaharu Astro, Rockstar Junior.
Jika diungkap dua nama hero kecil ini, populariti yang diraih mereka barangkali tidaklah sehebat anak Rozita Che Wan iaitu Aaisyah Dhia Rana atau pasangan selebriti popular Scha Alyahya dan Awal Ashaari iaitu Lara Alana.
Seringkali mencuit hati seramai 1.7 juta pengikut di Instagram milik bapanya, hal itu sekali gus membuatkan anak Tomok, Arrianshah Akid dan Andrashah Iman antara dua hero cilik yang sering dinanti keletahnya.
Rentetan daripada kepetahan mereka berdua menyanyi dan bertutur dalam bahasa Inggeris, hal itu membuatkan pihak Astro tertarik melamar Arrian, 5, dan Andra, 2, untuk mewarnai sebuah rancangan baharu di slot eBu yang berjudul Rockstar Junior.
Mula menemui penonton sejak 11 Oktober lalu, Rockstar Junior yang bersiaran pada setiap hari Rabu pukul 9 malam memaparkan kisah menarik realiti kehidupan harian keluarga Tomok dan isterinya, Ayu serta dua anak ‘bujang’ mereka.
“Sebelum ini memang peminat sentiasa menonton gelagat anak-anak menerusi akaun Instagram saya. Pun begitu, saya akui selalu menolak jemputan rakan media untuk sesi fotografi bersama anak-anak dengan alasan belum tiba masanya.
“Sejujurnya, saya mengambil masa yang panjang untuk menerima tawaran ini. Selepas mengadakan beberapa siri perbincangan dan mencapai persetujuan antara kedua-dua pihak, saya rasa inilah masa yang sesuai,” ujar Tomok ketika ditemui semasa sidang akhbar pelancaran Rockstar Junior di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Memulakan penggambaran sejak pertengahan bulan Ogos lalu di beberapa lokasi termasuk kediaman Tomok, sekolah Arrian dan beberapa tempat menarik antaranya Zoo Negara, atas dasar keselamatan anak-anak, Tomok turut meletakkan beberapa syarat kepada pihak produksi sebelum rancangan diterbitkan.
Pun begitu, kongsi pemilik nama lengkap Shah Indrawan Ismail itu, menariknya Rockstar Junior bukanlah sekadar sebuah rancangan hiburan biasa, tetapi sarat dengan tip keibubapaan memandangkan mereka membesarkan anak-anak tanpa bantuan pembantu rumah.
“Sebagai bapa saya tetap meletakkan beberapa syarat seperti meminta pihak produksi tidak mendedahkan lokasi kediaman kami serta sekolah Arrian. Selain itu, saya juga meminta mereka untuk tidak terlalu menyiarkan babak seperti anak-anak sedang menangis kerana mahu memaparkan perkara yang bagus.
“Selain memaparkan kehidupan keluarga, dalam masa sama saya ingin menunjukkn nilai positif seperti bagaimana Arrian di sekolah, cara kami mendidik anak-anak dari segi agama dan pelajaran.
“Pendek kata ini bukan sebuah program keluarga yang biasa dan untuk berseronok semata-mata. Selain menonton keletah anak-anak, saya dan isteri akan berkongsi tip berguna yang diamalkan sebagai ibu bapa,” kongsinya.
Ditanya adakah Tomok tidak mempercayai khidmat pembantu rumah dalam membantu membesarkan anak-anak, lelaki berusia 33 tahun itu lantas menggelengkan kepala.
“Bukan saya tidak percaya untuk mempunyai pembantu rumah, tetapi ruang rumah yang agak terhad membuatkan kami suami isteri selesa membesarkan anak-anak sendiri.
“Memang agak penat, namun ia memberi kepuasan kerana dapat melihat perkembangan mereka di depan mata kita. Mujur undangan nyanyian banyak dibuat pada hujung minggu, jadi kami suami isteri akan sentiasa bergilir mengatur jadual antara kerjaya seni, perniagaan dan anak-anak,” terangnya sambil tersenyum.
Cipta lagu
Membuka perspektif kehidupan harian kepada skala lebih besar buat peminat, pastinya keluarga Tomok tidak ketinggalan bakal menjadi mangsa kritikan khalayak.
Mengakui dia dan isteri sudah bersedia dengan perkara berkenaan, ujarnya pengalaman jatuh bangun dalam industri sejak tahun 1999 membuatkan dia kalis sebarang kritikan.
“Perkara itu memang sudah difikirkan sejak awal, namun dalam masa sama saya sekeluarga bersedia dengan apa sahaja kritikan yang bakal dilemparkan kepada kami.
“Pelbagai dugaan telah saya lalui sejak berada dalam bidang ini, jadi perkara itu tidak memberi masalah buat saya asalkan kami suami isteri tahu dan sudah memberikan yang terbaik buat Arrian dan Andra,” kongsinya.
Berbicara lanjut, Tomok juga mencipta sebuah lagu tema untuk rancangan sebanyak lapan episod itu. Istimewanya, lagu dengan judul Rockstar Junior itu merupakan idea asal daripada Arrian sendiri.
“Saya pernah bercakap dengan Arrian tentang penglibatannya dalam rancangan ini semasa awal penggambaran bermula. Ketika itu saya memintanya buat lagu tetapi secara tidak serius.
“Tidak sangka, semasa saya berada di luar, Arrian mengeluarkan melodi dan ia sempat dirakam oleh isteri. Saya terus menggubah lagu itu dengan lirik yang ringkas dan mudah untuk kanak-kanak sebelum membawanya kepada pihak Astro,” katanya yang turut memuatkan suara Arrian dalam lagu berkenaan.
Tawaran
Dalam pada itu, pelantun lagu Senyuman Manismu itu sempat diajukan persoalan mengenai keterbukaannya untuk menerima sebarang tawaran duta produk buat anak-anaknya selepas ini.
Tetap berpegang kepada prinsip seperti sebelum ini, Tomok akui begitu selektif terhadap tawaran yang datang dengan alasan tidak mahu mensia-siakan usia kanak-kanak Arrian dan Andra.
“Sebelum ini memang saya menerima banyak tawaran untuk menjadikan anak sebagai duta produk mereka, bagaimanapun ia terpaksa ditolak kerana bayaran yang tidak berbaloi dan kasihan dengan anak-anak.
“Saya memang sangat selektif dalam hal ini kerana ia melibatkan masa depan dan zaman kanak-kanak mereka. Selagi mampu mencari rezeki, biarlah saya sahaja yang ke depan.
“Saya juga tidak mahu menggalakkan anak-anak terdedah dengan dunia populariti terutamanya bidang muzik. Saya tidak mahu mereka kecewa dalam industri seperti yang pernah dilalui bapanya suatu masa dahulu,” kongsinya jujur.
Sebelum mengakhiri bicara, Tomok sempat berkongsi perkembangan terkini dirinya dalam kerjaya seni.
Bakal mengeluarkan sebuah single baharu pada bulan November depan, lelaki itu juga dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah album penuh.
“Saya baru mengeluarkan sebuah lagu duet bersama Monoloque berjudul Cinta Yang Paling Sempurna. Jika tiada halangan, saya akan tampil dengan lagu solo berjudul Love pada bulan hadapan.
“Lagu ini sudah siap sejak dari tahun lepas tetapi lambat dikeluarkan kerana belum tiba masa yang sesuai.
“Saya juga baru mengadakan perbincangan untuk menghasilkan album baharu pada tahun hadapan. Mengikut perancangan album berkenaan akan memuatkan semua lagu baharu,” tutupnya mesra.