Noah tunggu respons peminat Malaysia


Pernah memakai nama Peterpan sewaktu remaja, kini Noah matang bersama usia dan muzik yang mereka bawakan.

Mengumpulkan sekitar 7,000 penonton, malah mampu mencecah belasan ribu orang pada satu-satu masa untuk setiap konsert yang diadakan mereka bukan satu masalah. Noah sebenarnya sudah lama ‘hidup’ dalam jiwa peminat muzik di Indonesia.

Kebanyakan daripada rakyat negara itu yang lahir pada tahun 80-an, membesar dengan untaian karya mereka yang cukup popular pada awal tahun 2000.

Pada waktu itu, menerusi lagu-lagu seperti Bintang Di Surga, Mungkin Nanti atau Topeng, Noah masih memakai nama asal mereka, Peterpan.

Justeru, memiliki daya tarikan untuk peminat berhimpun dan menikmati konsert mereka pada masa kini bukan kekangan besar yang perlu dihadapi oleh band tersebut.

Sementelah, Noah dilabel sebagai band nombor satu di Indonesia. Namun, Ariel pantas menepis dakwaan tersebut. Dengan rendah hati, dia menjelaskan, kedudukan itu diberikan kepada mereka barangkali kerana tiada band baharu muncul sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Biarpun mereka menafikan hakikat itu, namun fakta tidak akan pernah menipu. Reputasi dan pengaruh Noah memang tiada tandingan.

Itu yang terbukti sewaktu Konsert Road To The New Album yang diadakan di Soreang, Bandung pada 16 September lalu apabila ribuan peminat membanjiri tapak konsert.

Pada tarikh yang sama juga, vokalisnya, Ariel atau Nazril Irham genap berusia 36 tahun.

“Ya, saya dikerjakan pada hari ulang tahun,” begitu seloroh lelaki tersebut selepas menyambut ucap selamat ulang tahun yang diberikan peminat kepadanya.

Mempersembahkan sebanyak 18 buah lagu termasuk sedikit dendangan single baharu, Wanitaku, konsert yang dibuka dengan lagu Para Penerka dan diisi untaian lagu termasuk Tak Bisakah, Andaikan dan Separuh Aku itu berlangsung sukses.

Ia diadakan khas bersempena dengan perjalanan mereka untuk menyiapkan album terkini yang disifatkan sebagai penuh misteri.

“Kami menggarap album terbaharu ini dengan penuh hati-hati dan ya, boleh dikatakan ia sebuah album yang penuh dengan misteri,” ujar Ariel pada pertemuan sore hari di Hotel Sutan Raja, Bandung, sebelum konsert berlangsung.

Bersama tiga lagi sahabat merangkap anggota band tersebut iaitu David, Uki dan Lukman, Ariel memperincikan tentang persiapan album tersebut yang telah tertunda selama setahun. Ia merupakan album studio kedua mereka selepas album pertama dengan judul Seperti Seharusnya dihasilkan pada tahun 2012.

Cerita mereka, album tersebut sudah mula digarap sejak beberapa bulan lalu, dengan percubaan menghasilkannya dalam sebuah kapal layar di Lombok. Mereka telah merombak ruang makan menjadi studio.

“Jika mengikut perancangan, kami mahu album ini berada di pasaran pada tahun hadapan dengan pengisiannya sebanyak 10 buah lagu. Namun buat masa ini, hanya dua yang baru disiapkan untuk dijadikan single terlebih dahulu sebagai satu bonus kepada peminat.

Malah, ada lima buah lagu yang sudah siap, kami rombak kembali muziknya menjadikan ia perlu diperhatikan semula,” ujar Ariel lagi.

Menolak faktor tekanan membuatkan album tersebut lambat disudahkan, Uki sebaliknya menjelaskan mahu memberi kualiti terbaik adalah sebab mengapa Noah tidak terburu-buru dalam memasarkan sebuah material baharu.

“Tekanan itu tidak ada, tetapi lebih kepada untuk mengeksplorasi. Kami perlu berhadapan dengan teknologi baharu dan bijak mengeksplorasikannya untuk melahirkan muzik yang lebih baik dalam album ini,” ujar Uki pula.

Di sebalik kesibukan band kelahiran Bandung itu menggarap album baharu, ada hal yang lebih mengujakan mereka.

Melakukan hampir 150 persembahan dalam setahun dengan hanya berhenti rehat untuk beberapa sambutan perayaan, Noah tidak pernah lelah berbuat demikian.

Malaysia

Sejak menukar nama Peterpan kepada Noah pada tahun 2012, mereka telah berjanji untuk bekerja keras dan memastikan lagu-lagu dendangan mereka dikenal dan dinikmati seluruh peminat.

“Justeru, walaupun bekerja tanpa rehat dan hampir tidak manusiawi, melakukan konsert di seluruh pelosok negara adalah hal yang wajar.

“Hal ini kerana memang sudah kami tahu tidak mudah untuk bermula semula dan salah satu caranya untuk dikenali adalah menjelajah menerusi konsert, sekali gus memperkenalkan lagu-lagu kami,” ujar Ariel.

Kini, selepas bertahun-tahun mengukuhkan nama Noah di gelanggang seni sendiri, mereka sudah bersiap siaga untuk kembali mencuri perhatian peminat setianya di Malaysia.

Malaysia, kata Ariel, selalu dekat dengan mereka, namun keterbatasan banyaknya konsert yang perlu diisi di Indonesia selalu membuat hasrat itu tertangguh.

Namun, selepas kali terakhir melakukan konsert berskala besar di Malaysia lebih enam tahun lalu, Noah akan bertemu peminatnya menerusi konsert sulung yang diberi nama Noah Live In Kuala Lumpur.

Dibawakan oleh Nada Promotama selaku penganjur utama dan Mewah Event Management sebagai wakil publisiti, kata Ariel, ini adalah waktu yang sangat tepat untuk Noah membius peminat mereka di sini.

Dijadualkan berlangsung pada 25 November depan di Stadium Negara, Kuala Lumpur, hanya satu frasa yang terluncur daripada mulut Ariel saat ditanya apa yang ditunggu olehnya mengenai konsert tersebut kelak.

“Respons,” katanya sambil ketawa sebelum menyambung: “Sudah terlalu lama kami tidak ke Malaysia. Boleh dikatakan kami seperti sudah kehilangan dalam ‘peta muzik’ Malaysia. Jadi, tentulah kami mahu melihat respons daripada peminat di sana.”

Menjanjikan sebuah konsert yang akan diisi dengan pelbagai gimik dan untaian lagu daripada zaman Peterpan kepada lagu-lagu saduran dan hit daripada album Noah, kata Ariel, mereka mahu peminat di Malaysia puas, sekali gus menyaksikan evolusi dan kematangan mereka.

Katanya: “Kami ada banyak tabungan lagu yang mahu didendangkan dan kebanyakannya tidak pernah dimainkan di hadapan peminat di Malaysia.”

Post a Comment

Previous Post Next Post