Kata Syafiq, biarpun berhadapan dengan kontroversi, dia tidak boleh cepat melatah.
Belum setahun menceburkan diri dalam bidang nyanyian, nama penyanyi baharu, Syafiq Farhain sudah hangat dengan kontroversi.
Menyifatkan kontroversi yang melanda akan mematangkan perjalanan seninya, Syafiq yang juga merupakan seorang pegawai bomba di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Putrajaya berjanji untuk tidak mahu memikirkan dan mengulang lagi kejadian sama daripada terus berlaku.
Bertemu dengan pemuda berusia 23 tahun itu ketika majlis ramah mesra majalah URTV bersama peminat di Quill City Mall, Kuala Lumpur, dengan penuh ceria Syafiq berkongsi perkembangan terkini kerjaya seninya yang semakin diterima ramai.
KOSMO!: Boleh kongsikan perkembangan terkini Syafiq?
SYAFIQ: Walaupun saya menjalankan dua kerjaya iaitu sebagai anggota bomba dan penyanyi, namun ia masih boleh diuruskan dengan baik.
Semuanya berjalan dengan lancar.Rezeki dalam bidang seni juga semakin bertambah apabila sering dijemput untuk mengadakan persembahan sama ada pada majlis tertutup atau beramah mesra bersama peminat.
Alhamdulillah, ketua saya juga memahami jadual seni saya asalkan ia tidak mengganggu waktu kerja.
Selepas popular dengan lagu Sayang Maafkan Aku, ada perancangan untuk menghasilkan lagu baharu?
Memang ada lagu baharu. Perancangannya akan keluar antara bulan November atau penghujung tahun ini. Lagu berkenaan merupakan hasil ciptaan Harry Khalifah, namun tajuk belum ditetapkan lagi.
Bagaimanapun, saya pernah memuat naik beberapa rangkap dalam lagu itu dalam laman YouTube dan membuat persembahan dalam program Malaysia Hari Ini baru-baru ini. Banyak peminat memberi maklum balas positif.
Adakah single baharu ini masih mengekalkan genre yang sama dengan lagu anda sebelum ini?
Ya, benar saya masih ingin membawakan lagu bergenre balada lagi tetapi single baharu ini tidak terlalu perlahan seperti lagu pertama saya dahulu.
Pada kebiasaan, apabila nama sedang hangat meniti di bibir peminat, pasti ada beberapa rumah produksi yang mula menawarkan peluang lakonan pula. Bagaimana dengan anda?
Buat masa ini saya belum ditawarkan untuk berlakon dalam mana-mana drama lagi. Andai kata ditawarkan suatu hari nanti, mungkin akan pertimbangkan dahulu dengan melihat keadaan semasa sebab saya terlibat dengan dua kerja sekarang. Jika saya tambah lagi satu kerjaya lakonan, mungkin ia akan membuatkan jadual kerja semakin padat.
Baiklah, penglibatan anda dalam gelanggang seni tanah air boleh disifatkan masih hijau, namun nama anda pernah terkait dengan kontroversi yang membabitkan diri anda dan ahli keluarga sendiri. Selepas kejadian itu, bagaimana dengan perjalanan kerjaya seni anda?
Pada saya, biarpun terpalit dengan kontroversi baru-baru ini, namun ia benar-benar memberi impak positif dalam kerjaya. Biarpun saya baru mempunyai satu lagu, namun ramai peminat mula melihat dan menyokong kerjaya saya.
Ramai memberi nasihat bahawa kontroversi itu perkara biasa dalam industri serta ia memberi pengalaman yang mematangkan saya untuk terus berjalan dalam industri ini.
Boleh kongsikan bagaimana anda mengatasi kontroversi yang datang ketika itu?
Memang saya baharu dalam industri tetapi tidak boleh terlalu cepat melatah. Saya perlu sentiasa berfikir positif kerana walaupun ia bukan datang dari orang luar tetapi dalam keluarga sendiri juga saya sudah biasa. Saya juga tidak boleh cepat patah semangat.
Bagaimanakah reaksi ibu anda dengan kejadian berkenaan?
Ibu saya sebelum ini memang pernah menyatakan pendapat bahawa tidak penting untuk saya menyertai dunia hiburan ini tetapi dia juga tidak menghalang kerana keputusan berada di tangan saya.
Ibu sering berpesan agar sentiasa berfikiran positif dan dia juga sering menyokong setiap keputusan yang saya lakukan.
Sebagai orang baharu, mungkin boleh kongsi pengalaman berhadapan dengan peminat fanatik?
Saya rasa semua orang yang dikenali akan menghadapi perkara sama. Tidak dinafikan, saya juga pernah berhadapan dengan peminat yang gagal mengawal perasaan mereka, namun sebagai artis, saya harus positif dan menghargai mereka sebagai peminat yang tidak jemu-jemu menyokong saya.