Lebih dikenali di pentas lakonan, Aqasha berharap karier nyanyiannya turut menyerlah menerusi program realiti gegar Vaganza 4 (GV4).
Tambahan pula, sebelum ini, selebriti berusia 35 tahun ini pernah menghasilkan tiga album iaitu Cahaya Hati (2000), Impian (2002) dan Qashanova (2011).
Bercerita kisahnya dalam bidang seni, Aqasha mengakui sudah lapan tahun tidak membuat persembahan secara terbuka walaupun sudah lama terbabit dalam bidang itu.
Bagaimanapun, katanya muzik terlalu dekat dengan kehidupannya.
“Saya tak pernah berpisah dengan muzik. Sesekali, saya tetap melakukan sesi latihan muzik kawan-kawan,” katanya pada Media Hiburan.
Jelasnya, CV4 adalah satu ruang dan peluang terbaik sekali gus menjadi batu loncatan untuk menyerlahkan kembali kariernya.
“Sebelum ini, saya pernah menerima tawaran tapi terpaksa tolak kerana komitmen lakonan.
“Jadi, kali ini, saya lapang dan rasanya seperti menolak tuah sebab bukan semua penyanyi dapat peluang ke pentas besar seperti GV.
“Saya juga mahu membuktikan kepada diri sendiri yang saya masih boleh menyanyi dan bakat itu belum hilang dari dalam diri,” katanya.
Bukan itu sahaja, pelakon filem Embun ini juga sanggup memperlahankan karier lakonannya seketika demi memberi komitmen sepenuhnya pada GV4.
“Kalau ada tawaran pun, saya hanya akan terima untuk berlakon dalam telefilem sebagai melepas rindu,” katanya.
Justeru, pemilik nama sebenar Firdee Akassya Rosli ini giat memperkuatkan stamina bagi menjaga nada dan kawalan vokalnya demi bersaing dalam GV.
Aqasha menyifatkan kunci nyanyian yang bagus adalah melalui pengawalan nafas yang baik dan stamina penting untuk lontaran suara yang bagus.
Kata pelakon dan penyanyi ini lagi, tanpa berbekalkan pengalaman dan persediaan rapi bakat yang ada juga tidak akan berkembang.
Dalam pada itu, katanya, isterinya, Noor Baizura Mohd Sabri dan kedua ibu bapanya turut teruja dengan penyertaannya dalam GV4.
"Lagi-lagi. mak saya, dia yang paling excited. Saya dah boleh bayangkan setiap minggu mak dah terpacak depan TV nak tengok anak dia.
“Semuanya mengharapkan saya menang, tapi saya dah cakap dengan mereka yang saya masuk ini hanya untuk buktikan yang saya masih boleh menyanyi dan nak enjoy di atas pentas,” katanya.
Selain Aqasha, penyanyi lain yang menyertai GV4 ialah Liza Hanim, Aishah, Elyana, Syura, Haida, Raja Azura, Aqasha, Lan Kristal, Tia Jinbara, Hazami, Firman Siagian, dan Ferhad.
Konsert GV4 akan bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra Bukit Jalil menerusi Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123) setiap Ahad jam 9 malam, bermula 29 Oktober ini.