Penyanyi kelahiran Mentor Milenia 2016 iaitu Qody kecewa apabila single keduanya gagal menjadi lagu tema drama eksklusif TV3 berjudul Dia yang bakal bermula 14 Oktober ini.
Qody, 22, berkata, perkara itu berikutan single berkenaan lewat disiapkan pada tarikh yang diminta oleh pihak produksi drama berkenaan.
"Pada awalnya rancangan untuk jadikan lagu baharu saya sebagai lagu tema utama drama 60 episod itu tapi disebabkan beberapa kekangan menjadikan lagu penyanyi Dayang Nurfaizah diambil sebagai lagu lagu tema drama tersebut.
"Lagu saya lambat disiapkan kerana bapa kepada komposer Ippo Hafiz mengalami masalah kesihatan menyebabkan ada beberapa proses tertangguh," ujarnya.
Drama Dia akan disiarkan pada Sabtu.
Drama bersiri Dia yang dilakonkan oleh Irwansyah, Janna Nick dan Izara Aishah akan mula ditayangkan pada Sabtu ini pukul 9 malam di TV3.
Qody mengulas tentang perkembangan terbaharu dan single berjudul Dia yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Qody bagaimanapun berkata, lagu berkenaan masih digunakan dalam drama tersebut.
"Tidak mengapa saya anggap tiada rezeki sahaja. Lagipun ia masih tetap digunakan dalam drama itu," ujarnya.
Sementara itu, Qody berkata, dia juga berharap lagu berkenaan bakal mendapat tempat dalam industri muzik tanah air.
Katanya, ia merupakan percubaan keduanya selepas keluar dari program realiti Mentor Milenia setahun lalu.