Amar Baharin, Amyra Rosli dapat anak lelaki


Amyra Rosli iaitu isteri pelakon, Amar Baharin selamat melahirkan anak lelaki di Pusat Perubatan Prince Court di sini, pada jam 12.07 tengah hari tadi.

Bayi comel itu dilahirkan secara normal dengan berat 2.48 kilogram (kg).

Ibu Amyra, Noor Zaridah Ahmad mengesahkan kelahiran cucu sulung bagi kedua-dua keluarga itu kepada BH Online, hari ini.

"Mengikut jangkaan, Amyra bersalin pada 25 Oktober ini. Tapi kuasa Tuhan, anak mereka nampaknya hendak 'keluar' lebih awal.

"Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Ibu dan anak juga stabil," katanya.

Dalam perkembangan sama, Amar dan Amyra berkongsi berita kelahiran putera mereka di laman Instagram.

Amyra terlebih dulu memuat naik foto yang menampakkan tangan si kecil disusuli Amar.



"Alhamdulillah. Aku mohon perlindungan untukmu wahai anakku yang baru lahir, dengan kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan syaitan, binatang berbisa dan kejahatan yg menakutkan. Amin.

"Terima kasih semua atas doa yang tidak henti-henti buat kami," luah Amyra disertai tanda pagar #amyramarjr.

Perkongsian itu mendapat reaksi ramai termasuk rakan artis yang mengucapkan tahniah kepada Amyra dan suami atas kelahiran cahaya mata mereka.

Amar dan Amyra melangsungkan pernikahan pada 11 November 2016.

Post a Comment

Previous Post Next Post