Pengalaman dikafankan ketika menjalani penggambaran filem 'Bisik Pada Langit' memberikan cabaran yang sukar dilupakan pelakon, Ummi Nazeera.
Isteri kepada Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani yang membawa watak Hajar dalam filem itu berkata, bulu romanya akan meremang setiap kali mengingati babak itu.
"Babak itu memberi pengalaman berbeza buat saya sebagai pelakon dan ketika melakonkannya, terdetik di hati beginikah rasanya apabila nyawa diambil nanti. Meremang bulu roma saya mengingatinya.
"Bayangkan, saya pula jenis klaustrofobia yang takut dengan ruang tertutup dan sempit. Sepanjang melakonkan babak itu, saya kawal minda supaya tidak panik.
"Pelakon Jalil Hamid yang saya panggil Uncle Jalil banyak mengajar saya untuk menampakkan babak itu tidak dibuat-buat. Beliau mengajar saya supaya menutup mata sambil menjulingkannya. Ternyata cara itu berkesan," katanya yang ditemui pada Malam Gala dan Pra Tonton Bisik Pada Langit, malam tadi.
Antara pelakon tayangan filem Bisik Pada Langit, dari kiri; Naim Daniel, Beto Kusyairy, Ummi Nazeera, Jalil Hamid dan Erwin Dawson di GSC, Pavilion.
Bisik Pada Langit terbitan Astro dan Nusantara Seni Sdn Bhd yang diarahkan Kabir Bhatia menjadi buah tangan terbaru lakonan Ummi.
Kali terakhir Ummi beraksi di layar perak ialah menerusi filem Penanggal pada 2013.
Bisik Pada Langit juga menjadi lakonan kedua Ummi di bawah Kabir selepas drama Nur Kasih yang memperkenalkan namanya di persada seni pada 2009.
Ummi berkata, Bisik Pada Langit banyak menuntutnya bermain dengan emosi, selain teruja dapat kembali berlakon di bawah arahan Kabir.
"Banyak faktor yang membuatkan saya terima tawaran filem ini antaranya skrip, karakter, rakan pelakon dan pastinya kerana ia diarahkan Kabir," katanya.
Ditanya mengenai reaksi Izzar yang turut menemaninya pada acara itu, Ummi berkata, mata suaminya bergenang kerana tersentuh dengan perjalanan filem itu.
"Saya perasan matanya bertakung dan merah. Apabila ditanya, suami menjawab konon masuk habuk tetapi saya tahu, dia tersentuh dengan filem ini," katanya.
Ummi dan Izzar yang berkahwin pada 23 Julai lalu memilih untuk ke Switzerland bulan depan untuk berbulan madu selepas bercuti di Sabah, baru-baru ini.