Sheeda lalui jalan berliku sebelum popular


Laluan berliku yang pernah dilaluinya menjadikan penyanyi dangdut popular, Sayyida Beevi M. Shahul Hameed atau lebih dikenali dengan Sheeda cukup menghargai peluang yang diperoleh dalam bidang seni.

Sebelum dikenali sebagai artis rakaman, Sheeda menimba pengalaman menyanyi di Kelab Dangdut dalam usaha mengembangkan bakatnya.

Biarpun pada awalnya dia mencuba pelbagai genre muzik, namun akhirnya mengakui muzik dangdut paling dekat dengan dirinya.

Cerita Sheeda, selepas tamat sekolah, dia menyertai pertandingan nyanyian dengan menyanyikan pelbagai genre muzik.

"Seorang penerbit di RTM yakinkan saya dengan dangdut, barulah saya sedar potensi dalam muzik dangdut lebih besar berbanding yang lainnya,” imbasnya.

Menurut Sheeda lagi, ketika mengejar cita-citanya, dia bertemu jodoh dengan gitaris kumpulan Desire yang cukup dikenali di Kelantan ketika itu, sekali gus memudahkan impiannya kerana selama ini dilakukan secara diam kerana keluarga terutamanya tidak menyukai dia menceburi bidang seni, “Saya banyak belajar tentang muzik dan menimba pengalaman menyanyi dengan band Desire ini yang ketika itu disertai oleh penyanyi Nora. Kami mempunyai cita-cita yang sama nak jadi penyanyi rakaman,” kata Sheeda.

Begitu pun, perkahwinan pertamanya itu berakhir selepas keputusannya berhijrah ke Kuala Lumpur (KL) bagi meneruskan impian bergelar anak seni.

Sheeda juga sudah beberapa kali menghadiri sesi uji bakat termasuk bersama Ahmad Nawab, S. Atan dan sebagainya namun nasib tidak menyebelahnya menyebabkan dia mencari jalan menimba pengalaman dengan menyanyi di kelab dangdut.

“Saya menyanyi di beberapa kelab dangdut di KL hingga ke Kuantan dan kemudiannya kembali semula ke KL pada tahun 1994 di mana pada tahun itulah perjalanan seni saya mula berubah apabila mendapat tawaran daripada komposer Iwan untuk bergelar artis rakaman,” katanya.

Album terjual ratusan ribu unit

Biarpun terpaksa menunggu masa lama untuk bergelar artis rakaman, kata Sheeda, dia tidak pernah berputus asa, sebaliknya percaya rezekinya akan datang bila tiba waktunya.

Katanya, ketika menyanyi di Kelab Sejati Dangdut, dia menerima tiga tawaran serentak untuk menjadi artis rakaman tetapi memilih Iwan kerana hanya menawarkannya membuat album dangdut.

Tambahnya, pada 1995, dia menandatangani kontrak sebagai artis rakaman Warner Music dan setahun kemudian muncul dengan album pertama, Angkat Kaki yang mengubah perjalanan seninya.

“Tak sangka album pertama itu mendapat perhatian sehinggakan lagu saya memasuki carta radio di seluruh negara, malah jualannya juga mencecah ratusan ribu unit sehingga melayakkan saya mendapatkan anugerah platinum,” katanya.


Selepas album Angkat Kaki, Sheeda kemudiannya muncul dengan Ronggeng (2000) dan Inikah Cinta (2005) selain beberapa album kompilasi yang turut meraih jualan album yang tinggi.

“Ketika nak menempatkan diri dalam bidang seni, saya melalui jalan yang cukup sukar, tapi selepas bergelar artis, situasi lebih mudah apabila ada syarikat rakaman menguruskan perjalanan seni saya. Jadual kerja ketika itu sangat padat dengan pelbagai aktiviti nyanyian," katanya yang bersyukur kerana dapat mengubah nasib keluarga dengan pendapatan sebagai penyanyi.

Berkongsi kenangan yang pernah dilaluinya ketika zamannya meniti populariti sekitar era 1990an itu, kata Sheeda, aktiviti persembahan di luar bandar sering sahaja memberikan pengalaman yang berbeza dan luar jangkaan.

“Ketika zaman tengah naik dulu, saya berpeluang mengadakan persembahan di merata tempat termasuk kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak yang “Antara yang paling saya ingat ketika membuat persembahan di sebuah kawasan di Mukah, Sarawak. Kami terpaksa turun bot kerana air sungai surut dan bot tidak dapat bergerak ke destinasi yang dituju.

“Mahu tidak mahu saya dan beberapa artis lain ketika itu terpaksa turun daripada bot, berjalan kaki ke tebing sungai untuk naik ke darat dengan bantuan orang kampung.

“Bayangkanlah bagaimana perasaan kami berada di sungai Sarawak yang sememangnya terkenal dengan kewujudan buaya ketika itu. Tapi itu pengalaman yang cukup berharga untuk dikenang hingga hari ini,” imbas Sheeda.

Menyentuh perkembangan terbarunya, Sheeda yang juga ibu kepada empat anak dan dua cucu ini bakal tampil dengan album terbarunya, Angkat Tangan tidak lama lagi.

“Insya-ALLAH album ini akan dilancarkan selepas anak bongsu saya tamat SPM kerana kami akan berduet sebuah lagu dalam album ini.

“Ia mungkin menjadi album dangdut terakhir saya kerana saya selepas ini saya berhasrat untuk berhijrah dan melalui fasa hidup baru ke arah yang lebih baik,” akhirinya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post