Misi kemanusiaan Faizal Tahir


Demi aktiviti sukarelawan, penyanyi popular, Faizal Tahir mengasaskan iAMFaithmen, satu pergerakan kemanusiaan sejak dua tahun lalu bagi menyemai sikap positif.

Lebih menarik, katanya, iAMFaithmen berperanan menyatukan pelbagai NGO bagi membantu golongan yang memerlukan.

Menyifatkan pertubuhan itu sebagai 'setahun jagung' namun bersyukur kerana banyak pihak menyedari kewujudannya.

Kata Faizal, selain membantu golongan yang memerlukan, iAMFaithmen berfungsi menguar-uarkan pembabitan NGO lain.

“Itu bermakna, kita bukan saja boleh berhibur, tetapi pada masa sama, mampu melakukan kerja-kerja amal,” katanya kepada Media Hiburan.

Terus aktif sebagai aktivis sukarelawan, pelantun lagu Mahakarya Cinta ini turut merancang menganjurkan misi membantu penduduk Acheh mendapatkan bekalan air bersih pada Januari depan selain mengeratkan lagi hubungan di antara dua negara serumpun.

Kita sudah berbincang dengan rakan selebriti di Jakarta, antaranya penyanyi dan pelakon, Dewi Sandra yang aktif menyokong aktiviti sukarelawan,” katanya.

Bukan itu sahaja, selebriti berusia 38 tahun ini percaya muzik mampu merealisasikan impiannya yang berhasrat mengadakan siri jelajah iAMFaithmen membabitkan penyertaan selebriti Malaysia dan Indonesia, diakhiri satu konsert bagi mengumpulkan dana.

Jadi panel IAVE 2017

Atas tanggungjawab itu, pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Mohammad Tahir ini dilantik sebagai panel Persidangan Sukarelawan Serantau Asia Pasifik ke-15 (IAVE 2017).

Persidangan itu bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dijangka disertai 350 peserta dari negara Asia Pasifik bermula 22 hingga 26 November depan.

Mengakui teruja, katanya, persidangan anjuran Yayasan Salam Malaysia ini boleh menjadi platform menarik lebih ramai belia menjadi sukarelawan.


Luah Faizal, dia ingin jadikan muzik sebagai alat mengajak masyarakat membuat kebaikan menyertai kerja sukarelawan.

Katanya, mungkin sebelum ini, ramai yang tidak tertarik kerana promosi hanya secara konvensional.

“Jadi, saya mengajak orang ramai agar menjadikan kerja sukarelawan sebagai satu gaya hidup," katanya.

Tambahan pula, penyanyi lagu Assalammualaikum ini mengakui masyarakat masih bersikap enteng berkaitan isu kemanusiaan.

“Saya sedar tanggungjawab semakin besar, selepas lebih 11 tahun di dalam industri seni.

Faizal mahu mengubah tabiat masyarakat yang dilihat sukar berkongsi isu berkaitan kemanusiaan di laman sosial sebaliknya 'laju' menekan butang share apabila ada kontroversi.

Sertai politik?

Lantaran kecenderungannya dalam aktiviti membabitkan masyarakat, Faizal mengakui perbuatan itu bakal mendedahkannya ke kancah politik.

“Saya seorang yang tak akan lari daripada tanggungjawab, tapi tak pernah fikir sertai politik. Mudah-mudahan tak, tapi siapa tahu apa akan berlaku pada masa hadapan," katanya sambil ketawa.

Dalam perkembangan lain, Faizal turut mengumumkan bakal mengadakan konsert solo pada hujung tahun ini.

“Muzik saya masih lagi seperti dulu. Masih rock, namun dari segi perkongsian lirik, ia lebih meluas dan menjurus ke arah nilai positif sesuai dengan peredaran usia.

“Saya juga masih berbincang dengan Warner Music untuk merealisasikan impian tersebut. Lokasi masih belum diputuskan, namun apa yang pasti di sekitar Kuala Lumpur,” katanya,

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post