Sheeda Irama dangdut bukan lagu murahan


Sikap segelintir masyarakat yang sering melabelkan muzik dangdut sebagai irama murahan seharusnya perlu berubah.

Sheedamasih memperjuangkan irama dangdut.

Penyanyi dangdut Sheeda meluahkan rasa terkilan mengenai sebilangan pelapis baharu hari ini yang malu-malu untuk menyanyikan lagu-lagu berirama dangdut.

“Budak-budak sekarang bila kita ketengahkan lagu dangdut, semua malu nak ambil bahagian. Betul tak?.

“Tapi bila berkunjung ke pusat karaoke, mesti nak pilih lagu dangdut.

“Mungkin mereka rasa dangdut bukanlah irama yang bertaraf tinggi sebab selalunya orang kategorikan muzik dangdut ini sebagai murahan,” katanya.

Menurut Sheeda,53, lagi, masyarakat hari ini harus dididik untuk menghargai setiap karya yang diperjuangkan oleh anak seni sekaligus dapat memartabatkan industri hiburan tempatan.

Malah, penyanyi yang popular dengan lagu Angkat Kaki itu lagi turut terkesan dengan penerimaan serta pujian dari negara Indonesia tentang muzik dangdut.

“Orang kita tak sedar bahawa dangdut adalah muzik Melayu dan di Indonesia pun cakap genre ini berasal dari Malaysia.

“Malu lah kalau kita sendiri tak nak perjuangkan irama muzik sendiri sehinggakan mereka turut sama-sama menaikkan lagu dangdut.

“Mereka (penyanyi Indonesia) bangga dengan irama Malaysia tetapi kita pula sampai nak kena sekat dan bersikap `memilih bulu’. Sayang lah kalau kita biarkan begitu sahaja,” tegasnya lagi.

Mengulas lanjut perkembangan terkini Sheeda, dia bakal memeriahkan Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 di Padang Awam Batu Anam, Segamat, Johor pada 14 Oktober ini.

“Karnival ini akan berlangsung pada 6 Oktober ini selama sembilan hari.

“Ada pelbagai aktiviti seperti sukan rakyat bersama bangsa Johor selain ada booth jualan daripada artis jemputan.

“Konsert Rock-dut pula akan berlangsung di sebelah malam pada 14 Oktober di mana saya sudah menyediakan sekurang-kurangnya enam buah lagu untuk dipersembahkan kepada peminat yang hadir,” jelasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post