Sharul Kamal Bukan niat aibkan sesiapa


Single terbaharu Sharul, Racun Rindu dijangka menjengah halwa telinga pendengar dalam masa terdekat.

Selepas sekian lama seolah-olah ‘hilang’ daripada radar dunia hiburan, nama bekas bintang Akademi Fantasia 2015 (AF2015), Sharul Kamal tiba-tiba pijar seketika baru-baru ini.

Ia ekoran kelantangan Sharul menzahirkan perasaan kecewanya secara terbuka kepada pihak media setelah mendakwa kontraknya ditamatkan lebih awal oleh pihak pengurusan lamanya sebelum ini.

Sharul atau nama sebenarnya Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman, 21, mendakwa, bukan dia saja yang bernasib malang, malahan turut melibatkan beberapa bekas bintang AF lain.

Cuma jelas Sharul, tujuannya mendedahkan perkara itu bukan untuk menegakkan keadilan kendatipun ramai yang mempertikaikan mengapa dia seorang saja yang ‘bersuara’.

Sebaliknya, pemuda yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan tidak mahu nasib yang menimpanya turut terjadi kepada orang lain terutamanya mereka yang ingin berjinak-jinak ke dunia hiburan.

“Saya bukan mahu mengaibkan sesiapa, apatah lagi mahu mengheret isu ini hingga mengambil tindakan undang-undang dan sebagainya.

“Cuma sekurang-kurangnya, ia dapat memberikan pengajaran kepada semua pihak supaya lebih peka termasuk meneliti setiap butiran kontrak sebelum bersetuju dengan segala-galanya,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Sharul memberitahu, dia juga sudah serik sehingga mendorongnya membuat keputusan nekad untuk bergerak sendiri tanpa bantuan mana-mana syarikat pengurusan selepas ini.

Sementelahan pula, ini jalan yang dipilihnya selepas terpaksa melupakan sukan bola sepak gara-gara kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) lutut kanan, selain tidak meneruskan pengajian dalam Diploma Filem, Teater dan Animasi di sebuah institusi pengajian tinggi sebelum ini.

“Bukan mudah mahu menjadi anak seni. Saya pernah menangis semahu-mahunya mengenangkan nasib diri yang entah ke mana.

“Percaya ataupun tidak, saya juga pernah menjual air tin dari kereta ke kereta di lampu isyarat tanpa memikirkan perasaan malu meskipun ada yang tahu saya seorang artis sebelum ini,” cerita bekas pemain skuad belia Negeri Sembilan itu.

Nekad untuk membuka buku baharu dalam hidup, Sharul berkongsi perasaan teruja apabila bakal bertindak menjadi hos buat julung-julung kalinya menerusi travelog berjudul Jelajah Backpackers Di Balkan yang dijadualkan bersiaran pada awal tahun depan.

“Selain itu, saya juga sedang menjalinkan kerja sama dengan Aepul Drama Band sebelum tampil dengan single terbaharu berjudul Racun Rindu sedikit masa lagi,” ujarnya seraya menoktah bicara.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post