Berikan apa saja watak, pasti mampu dilaksanakan Nadiya Nisaa, tidak kira di layar lebar, drama TV atau pentas teater.
Biarpun tersepit dengan trend semasa industri yang meletakkan aspek komersial sebagai keperluan utama, Nadiya tetap komited dan mahu terus aktif dalam lakonan.
Kemunculan Nadiya sebagai penyampai radio IM4U sepanjang Ogos lalu mengejutkan ramai peminat malah ada yang menganggap pelakon yang mula dikenali menerusi drama Adam dan Hawa ini beralih arah ke konti radio.
“Saya harap tidak ada yang salah faham. Itu hanyalah sebagai penyampai jemputan selama sebulan bagi menggantikan seorang penyampai yang cuti bersalin. Saya sendiri pun tak percaya sebab berani ambil tanggungjawab ni, tapi tawaran lakonan ketika itu tak begitu menarik, jadi mungkin lebih baik saya belajar benda baru.
Mengakui tidak ada asas atau pengalaman di konti, namun Nadiya berjaya melakukannya kerana sokongan pihak IM4U dan rakan penyampai lain hingga ada yang menganggap dia sudah bekerja tetap di situ.
http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.733500.1505955957!/image/image.jpg
Meskipun menerima respons baik daripada pendengar, Nadiya memberitahu, tidak akan terlibat secara serius dalam bidang ini kerana merasakan tugas itu bukan mudah.
“Mungkin ramai yang fikir tugas ini sangat mudah tapi sebenarnya lebih sukar daripada itu.
“Saya respek sangat kerana mereka mempunyai kemahiran bercakap yang hebat serta bijak menarik perhatian sedangkan saya terkial-kial nak sudahkan slot," ujarnya.
Biarpun seronok di konti tetapi Nadiya yang mengendalikan slot jam 4 petang hingga 8 malam, setiap Isnin hingga Jumaat tetap menyifatkan dia tidak bagus sebagai penyampai radio.
Menyentuh kerjaya lakonannya, Nadiya bersyukur kerana masih diberi pelbagai watak meskipun sudah lebih setahun tampil dengan imej bertudung.
“Alhamdulillah, cuma saya perlu bijak pilih watak sesuai dengan penampilan sekarang," katanya yang masih berpeluang memilih karakter yang dirasakan berbaloi dengan caranya walaupun kerap menerima watak wanita sopan dan ibu.
Hampir setiap tahun tercalon di FFM
Nadiya yang sebelum ini pernah memahat nama di Festival Filem Malaysia (FFM) apabila dinobatkan Pelakon Harapan Wanita Terbaik (FFM24) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (FFM27), sekali lagi bertanding di FFM29 yang bakal berlangsung pada 23 September ini menerusi filem Redha dan Interchange.
Walaupun tidak pernah meletakkan sasaran kemenangan namun dia bersyukur kerana kerjanya mendapat pengiktirafan di FFM.
Biarpun hampir saban tahun namanya tercalon di FFM, Nadiya tidak pernah jadikan ia sebagai ukuran meletakkan kerjayanya di tahap terbaik dan masih merendah diri menganggap perjalanannya masih terlalu jauh.
“Apa pun saya seronok apabila hampir setiap tahun berpeluang menghadiri FFM kerana itulah peluang penggiat seni berkumpul dan meraikan kejayaan rakan-rakan,” ujarnya yang baru selesai menjalani penggambaran filem terbarunya, Mak.
Hargai orang sekeliling
Meninggalkan jauh episod suram saat kehilangan anak keduanya dalam kandungan setahun lalu, Nadiya mengakui dia kini lebih positif.
“Saya kini semakin menghargai semua orang di sekeliling.
“Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik. Anak lelaki saya, Omar, juga dah besar dan bakal masuk sekolah darjah satu tahun depan.
“Jadi semestinya peranan saya sebagai ibu akan lebih lebih mencabar lepas ni, apatah lagi dengan keadaan semasa yang menuntut kita berwaspada dengan semua perkara di sekeliling,” akhirinya.