Pelakon popular Nabila Huda yang memulakan misi pendakian ke Gunung Annapurna, Nepal pada Ahad lalu dijangka tiba di Annapurna Base Camp (ABC) dengan ketinggian 4,130 meter dari aras laut pada petang ini waktu tempatan.
Nabila ketika dihubungi berkata, dia bermalam di 'base camp' Annapurna yang terletak di Banjaran Himalaya sebelum memulakan pendakian akhir jam 8 pagi tadi (waktu tempatan).
"Saya tiba di Himalaya jam 5.30 petang semalam (waktu tempatan). Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.
"Saya tidak ada sebarang kecederaan lagi cuma kaki saja kejang selepas mendaki anak tangga batu yang curam. Biarpun sakit, saya tetap puas dan berasakan ia berbaloi," katanya kepada Harian Metro.
Nabila yang juga pelakon drama Dendam Aurora berkata, misi menawan Annapurna dirancang sejak tahun lalu.
"Saya hanya ingin cabar diri untuk mendaki sampai ke puncak. Saya nak tahu macam mana perasaan itu.
"Kalau nak tahu, saya tak buat sebarang latihan sebelum memulakan misi ini. Apatah lagi ini adalah pendakian pertama saya. Saya memilih Annapurna untuk dijadikan kenangan," katanya.
Menurut Nabila, segala urusan dan kemudahan di sana diuruskan pihak kedutaan Nepal termasuk tiket penerbangan.
"Perjalanan saya ke sini tidak berbayar. Saya tak ada gaji atau apa-apa. Cuma saya bertuah kerana ada orang yang sudi ikut dan rakam segala aktiviti di sini. Saya hanya bayar mereka.
"Urusan lain termasuk tiket penerbangan dan kelengkapan sepanjang di sini diuruskan pihak kedutaan Nepal," katanya.
Menerusi misi ini, Nabila berharap ia dapat memberikan motivasi kepada wanita untuk mencuba sesuatu yang baru dan mencabar.
"Misi ini satu motivasi untuk wanita yang sentiasa berasa penat dengan diri sendiri, kemurungan dan tekanan. Apabila mendaki ia boleh menghilangkan segala kekusutan terutama selepas melihat pemandangan.
"Dalam masa sama, saya ingin buktikan biarpun melancong solo, masih boleh pergi ke mana saja. Paling penting tidak memerlukan wang ringgit yang banyak untuk mendapat hidup mewah," katanya.
Nabila yang turut merakam perjalanan dan aktiviti di sana tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menayangkan video itu dalam mana-mana program.
"Tujuan saya merakam adalah sebagai kenangan. Sekiranya ada pihak yang sudi menayangkan rakaman ini, saya sedia berkongsi," katanya yang memasang impian ke Gunung Everest pula.