Pelakon Kylie Jenner dilaporkan ada bertemu dengan seorang bomoh ketika mengembara ke Peru bersama ibunya, Kris Jenner dan sahabat baiknya, Jordyn Woods.
Dalam pertemuan tersebut, aktres berusia 20 tahun itu dikatakan menerima tilikan dan nasihat mengenai kehidupan cintanya.
Difahamkan, bomoh Peru tersebut memberitahu, bahawa Kylie akan bertemu dengan seorang lelaki yang benar-benar ikhlas mahu mengenalinya.
Perkara tersebut turut didedahkan menerusi program realiti, Life of Kylie dalam musim terbaharunya nanti.
“Ada petanda yang baik (mengenai cinta). Ada seseorang yang betul-betul tertarik dengan anda. Dia mempunyai niat baik. Dia pernah bercakap dengan anda,” katanya seperti yang dipetik portal Femalefirst.com menerusi program realitinya itu.
Bintang Keeping Up With Kardashians itu kini sedang menjalin hubungan cinta dengan rapper Travis Scott. Bagaimanapun, ia tidak dikenal pasti sama ada Scott merupakan individu sama yang dimaksudkan bomoh tersebut.