Meskipun badut diwujudkan bagi tujuan menghiburkan, ia boleh menjadi mimpi ngeri buat segelintir individu.
Itulah yang digambarkan dalam filem It yang mula menggegarkan pawagam, semalam. Adaptasi novel tulisan Stephen King menggunakan judul sama pada 1986, ia naskhah seram paling dinantikan tahun ini.
Hakikatnya, filem arahan Andy Muschietti itu lebih hebat berbanding Annabelle yang memulakan tayangan baru-baru ini. Masakan tidak, mereka yang pernah mengikuti siri mini It pada 1990 pasti masih terbayang betapa seramnya kisah itu.
Membariskan pelakon muda termasuklah Jaeden Lieberher sebagai Bill Denbrough, Jeremy Ray Taylor (Ben Hascom), Sophia Lillis (Beverly Marsh), Finn Wolfhard (Richie Tozier), Wyatt Oleff (Stanley Uris) dan ramai lagi, filem ini dilihat cukup berbeza.
Watak Pennywise The Dancing Clown lakonan Bill Skarsgard pula begitu hidup dengan reaksi wajahnya yang penuh tipu helah.
Ia bukan kisah badut biasa yang selalu dilihat dalam kehidupan sebenar, sebaliknya penuh dengan misteri yang bakal membuatkan perasaan penonton gelisah selepas mengetahui identiti Pennywise.
Banyak kelebihan yang wajar dipuji terutama plot serta aspek teknikal. Meskipun kebanyakan babak didominasi pelakon muda, persembahan mereka ternyata hebat.
Trailer Filem It
Begitu juga elemen seram yang dipaparkan di mana penonton dapat merasai ketakutan serta keresahan setiap karakter.
Berlatarbelakangkan tahun 80-an, sinematografi filem ini dilihat sempurna. Ia mengimbau suasana era itu di mana basikal menjadi pilihan utama kanak-kanak dan mereka berseronok setiap kali datangnya musim panas.
Nilai kasih sayang, kesetiaan dan persahabatan menjadi inti pati utama dalam perjuangan merungkai misteri di daerah Derry.
Karakter Bill misalnya digambarkan sangat menyayangi adiknya, George atau Georgie yang hilang tanpa khabar berita. Dia tidak pernah berhenti berharap akan menemui adiknya itu dan berusaha mencarinya.
Keutuhan nilai persahabatan Bill dan rakan-rakannya juga menyentuh hati. Dalam apa juga keadaan, mereka saling menyokong tanpa menghiraukan bahaya yang bakal menimpa.
Persahabatan mereka hanya teruji apabila tiba-tiba dihantui ketakutan ketika mencari jawapan di sebalik misteri kehilangan itu.
Ternyata, musuh sebenar mereka adalah ketakutan dalam diri. Kesempatan itu digunakan Pennywise untuk menjerat mereka.
Filem ini mengisahkan misteri yang menghantui penduduk Derry apabila seorang demi seorang kanak-kanak hilang. Setiap kali ada kehilangan baru, mangsa terdahulu dilupakan.
Demi merungkai misteri itu, sekumpulan kanak-kanak bertindak berani menyerang Pennywise yang menjadi dalangnya.
Banyak perkara mengejutkan dialami mereka dalam misi itu.