Pelakon popular Erra Fazira tiada masalah jika diundang menjadi juri jemputan program AF Megastar dan menegaskan dia harus bersikap profesional.
Penjelasan itu diberikan Erra apabila timbul dakwaan mengatakan dia enggan menjadi juri jemputan kerana pembabitan temannya, Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir Zawawi yang juga juara Akademi Fantasia musim kelapan.
Bagaimanapun katanya, sekiranya perkara itu boleh dielakkan, Erra memilih untuk tidak berbuat demikian bagi mengelakkan timbul rasa tidak puas hati penonton setia program terbabit.
“Dalam hal ini sudah tentu saya harus bersikap profesional. Begitupun sekiranya pihak produksi memang benar-benar mahukan saya dan tidak ada orang lain dirasakan layak untuk duduk di kerusi juri jemputan itu, saya harus juga bersikap sama.
“Kalau menolak, bimbang kelak saya pula yang dikatakan tidak profesional. Saya sebaik mungkin tidak mahu perkara seperti itu berlaku,” katanya.
Shahir antara 12 peserta yang layak untuk terus bersaing di peringkat seterusnya dalam program yang diterbitkan dan disiarkan Astro Ria itu.
Menjelaskan namanya mula menjadi ‘bahan’ apabila Shahir tampil di pentas AF Megastar minggu lalu, Erra berkata, dia menerimanya dengan positif, tidak rasa tertekan dan mengambilnya sebagai asam garam dunia seni.
“Itukan permainan di atas pentas untuk menyemarakkan lagi situasi pertandingan. Ia hanya gurauan antara pengacara program itu dan peserta,” jelasnya.
Erra turut menegaskan kemahuan untuk Shahir kembali aktif dan menyertai AF Megastar datang daripada dirinya sendiri dan dakwaan mengatakan ia disebabkan dipujuk dan dipaksa Erra, tidak benar.
“Sebagai kawan apabila Shahir mengatakan dia mahu kembali aktif sudah tentu saya menyokong dengan memberikannya semangat. Saya pula ada sedikit pengalaman dan berkongsi pendapat apabila Shahir sendiri minta. Bagaimanapun tidak semestinya pendapat yang dikongsi itu akan digunakan Shahir,” tegasnya.
Hubungan Erra dan Shahir hangat diperkatakan apabila kedua-dua pihak mengakui kini sedang berkawan rapat. Bagaimanapun mereka tidak pernah mengakui keakraban wujud antara mereka disebabkan hubungan cinta.