Ayda Jebat calon awal Anugerah Muzik Eropah MTV


Artis sensasi, Ayda Jebat, disenaraikan dalam pencalonan awal kategori SEA Social Wildcard (Malaysia) mewakili rantau Asia Tenggara ke Anugerah Muzik Eropah MTV (MTV EMA) 2017 yang akan berlangsung di London, England, pada 12 November depan.

Turut berentap dengan penyanyi yang juga pelakon berkenaan ialah ialah Raisa (Indonesia), The Ransom Collective (Filipina), Sezairi (Singapura) dan Palitchoke Ayanaputra (Thailand).

Ketika dihubungi, penyanyi Pencuri Hati itu menganggap pencalonan berkenaan sebagai kejutan dan sesuatu yang di luar jangkaan dirinya.

"Sejujurnya, ketika melangkahkan kaki ke dalam industri muzik, saya tidak pernah meletakkan harapan terlalu tinggi. Cukup sekadar lagu saya diterima baik oleh peminat, selain berkongsi genre muzik yang saya sukai.

"Bagaimanapun, apabila nama saya dicalonkan dalam anugerah ini, saya sangat teruja kerana dapat membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

"Saya bagai tidak percaya apabila dikhabarkan mengenai pencalonan awal ini. Maklum saja, MTV EMA adalah anugerah muzik yang begitu popular pada peringkat antarabangsa.

"Saya berharap peminat dan seluruh rakyat Malaysia dapat memberikan undian, yang boleh dilakukan secara percuma di laman Twitter," katanya.

Undian di laman sosial berkenaan perlulah dihantar dengan berserta tanda pagar #NominateAydaJebat dan #MTVEMA sebelum atau pada 3 Oktober depan, jam 7 pagi.

Tahun lalu, penyanyi yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat, Yuna, dan kumpulan rock alternatif, Bunkface, pernah dicalonkan menerusi kategori Artis Asia Tenggara Terbaik pada anugerah sama.

Namun, kategori terbabit dimenangi oleh penyanyi dari Vietnam, Dong Nhi.

Post a Comment

Previous Post Next Post