Penyanyi Yuna berkongsi perasaannya setelah bergelar tunangan kepada Adam Yusof Sinclair.
Menurutnya, dia merupakan gadis yang cukup bertuah kerana jatuh cinta dengan kawan baiknya sendiri.
"Dia tidak mengejar saya, mempunyai keraguan tentang diri ini menunjukkan bahawa dia seorang yang berhati-hati memilih teman hidup.
"Tiada bisikan romantik di telinga tetapi tidak terlepas menjawab panggilan telefon saya, tidak menghebohkan hubungan kami di media sosial kerana baginya saya adalah permata tersembunyi, bukannya permainan baru yang perlu ditunjuk satu dunia," tulisnya di laman Tumblr miliknya.
Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zarai'ai mula mengenali Adam Sinclair, seorang direktor di set rakaman untuk iklan televisyen pada awal 2013.
Pasangan itu semakin rapat pada penghujung 2015 dan mula merancang dengan lebih serius untuk berkahwin. Upacara merisik diadakan pada 27 Mac lalu dan mengikat tali pertunangan pada 5 Ogos.
Yuna turut menyenaraikan perkara yang membuatkan dia jatuh hati dengan tunangnya itu.
"Dia tidak meletakkan saya yang pertama kerana mempunyai ibu bapa, adik beradik, anak saudara, kesihatan dan terutamanya, kehidupannya.
"Selain itu, dia tidak cemburu jika saya dan tidak mengongkong hidup saya, tidak peduli jika saya ada dua juta pengikut di media sosial malah mengenali kesemua 10 nama sahabat saya.
"Dia tidak tahu tajuk lagu saya tetapi mengingati tarikh lahir anak saudaranya, tidak melupakan rakan-rakan untuk saya dan masih meluangkan masa bersama mereka" tulisnya lagi.
Tambahnya lagi, sikap Adam mengubah persepsinya tentang cinta.
"Sebelum ini, saya fikir cinta adalah dimana lelaki yang harus melakukan segalanya, bersikap romantik seperti memberi bunga, surat cinta dan memberikan seluruh jiwa raga pada saya.
"Namun, Adam hanya ingin memastikan dia menjadi lelaki terbaik buat dirinya, keluarga dan dunia dan berkongsi segalanya dengan saya.
"Dan pada akhir setiap perbualan kami, dia akan memberitahu bahawa dia juga cintakan saya," tulisnya.