Penyanyi popular Siti Nordiana menafikan dakwaan segelintir pihak dirinya tidak membantu mempromosikan persembahan amal yang berlangsung baru-baru ini.
Charity Showcase with Siti Nordiana itu berlangsung di Hotel Palm Garden, IOI Resort City, Putrajaya jam 8.30 malam pada 12 Ogos lalu.
Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana berkata, sudah banyak kali dia membantu mempromosikan persembahan amal itu di laman Instagramnya.
"Apa yang menjadi masalah ialah tarikh persembahan amal itu ditukar tiga hingga empat kali oleh penganjur.
"Takkanlah peminat saya hendak mempromosikan persembahan amal itu setiap kali tarikhnya ditukar kerana mereka juga ada acara lain untuk dipromosikan di laman sosial.
"Dari sudut profesional, saya sudah pun menjalankan tugas saya sebagai selebriti untuk persembahan itu,” katanya.
Nana berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan segelintir pihak dirinya tidak membantu mempromosikan acara itu hingga ia kurang mendapat sambutan.
Nana turut menegaskan dia tidak tahu menahu soal sambutan orang ramai terhadap acara itu.
"Sama ada dapat sambutan atau sebaliknya, itu bukan masalah saya. Sebagai penyanyi, saya sudah buat kerja yang diamanahkan.
"Sebelum ini, semua acara yang saya jayakan mendapat sambutan.
"Logiknya, kalau sudah banyak kali tukar tarikh orang pun akan tawar hati untuk datang.
"Saya teruskan juga persembahan kerana peminat sudah beli tiket,” katanya.