Raisa, Melodi ringkas tapi mengusik jiwa


Bagi penggemar lagu Indonesia, nama Raisa tentunya tidak lagi asing.

Terbaru, Raisa hadir dengan single ketiga berjudul Usai Di Sini daripada album ketiganya, Handmade.

Dari segi melodi, tentunya ramai sedia maklum muzik dari negara jiran itu kebanyakannya berteraskan perasaan ‘galau’ atau patah hati.

Begitu juga kisah dan jalan cerita yang menjadi tunjang dalam lagu ini.

Melodinya hadir serba ringkas dengan petikan piano diiringi alunan biola. Walaupun ringkas, ia benar-benar mengusik jiwa.

Dari segi lirik, tentunya menggugat perasaan setiap yang mendengar. Ia berkisar mengenai kisah cinta yang terhenti dan si pelantun mahukan perpisahan secara baik.

Jika dihayati liriknya, pendengar akan dibawa supaya menerima perpisahan itu secara positif dan tanpa sebarang salah faham seperti berikut:

“Lebih baik kita usai di sini sebelum cerita indah tergantikan pahitnya sakit hati. Bukannya aku mudah menyerah, tapi bijaksana. Mengerti kapan harus berhenti.”

Lantunan vokal Raisa semestinya tidak perlu dipertikaikan lagi. Walaupun lagu ini baru dilancarkan pada Februari lalu, ia sudah mendapat tempat di hati peminat penyanyi berusia 27 tahun ini.

“Setiap kali membuat persembahan pentas, Usai Di Sini sentiasa diterima dengan sangat positif. Ada yang sudah siap menghafal dan menyanyi bersama saya dan itu menguatkan lagi kenyataan ia adalah single yang ditunggu-tunggu peminat,” katanya.

Video muziknya baru saja dimuat naik ke YouTube rasmi Raisa pada 11 Ogos lalu, namun sudah ditonton hampir 500,000 pelayar Internet.

Lebih menarik, video muzik itu menjalani penggambaran di Itali dan memaparkan keindahan negara terbabit di samping sinematografi hebat arahan Candi Soeleman.


Raisa - Usai Di Sini

INFO:

LAGU: Usai Di Sini

PENYANYI: Raisa

CIPTAAN: Raisa, Marco Steffiano, Rayendra Sunito & Haris Pranowo

TERBITAN/EDARAN: Juni Records

Post a Comment

Previous Post Next Post