Serina Redzuawan harap tiada mana-mana pihak yang cuba melaga-lagakan dia dan bekas suami.
PELAKON Serina Redzuawan meminta pihak luar tidak menjadi batu api berhubung perceraian dan tindakannya memberikan hak penjagaan kekal dua anak kepada bekas suami Gavin Edward O'luanaigh.
Pinta Serina, jangan cepat menjatuhkan hukum mengenai perihal peribadinya kerana dia juga seorang manusia biasa yang mempunyai sejarah hidup tersendiri.
"Tiada siapa yang inginkan perkahwinan dibina berakhir dengan perceraian dan begitu juga saya.
"Tetapi malangnya ramai yang menjadi batu api dan mudah menjatuhkan hukum walaupun tidak tahu situasi sebenar.
"Setiap orang ada sejarah hidup tersendiri dan doakan yang baik-baik kerana kita tidak tahu apa akan jadi pada masa hadapan dan bukannya dengan memaki hamun," katanya kepada mStar Online.
Pasangan ini tinggal berasingan sejak dua tahun lalu dan akhirnya bersetuju untuk bercerai secara baik.
Gavin atau nama Islamnya, Salahudin Ghaffar, 40, melafazkan cerai terhadap Serina di Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Petaling pada Selasa.
Serina bersama bekas suami Gavid dan anak-anak mereka.
Mengulas mengenai luahan bapanya, chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang tidak bersetuju tindakannya menyerahkan hak penjagaan dua anaknya kepada Gavin, Serina bagaimanapun enggan mengulas mengenai hal itu.
Sebaliknya kata Serina, bapanya itu ada hak untuk bersuara namun dia bersyukur mendapat keluarga yang sentiasa menyokongnya.
"Ibu bapa mana tak emosional termasuklah keluarga saya tetapi bapa saya ada hak untuk bersuara dan tidak perlu saya ulas mengenainya.
"Paling penting saya dapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu dan bapa saya," katanya.
Sementara itu, Serina berkata walaupun sudah bercerai namun dia dan Gavin komited untuk bersama-sama membesarkan dua anak mereka.
Dia juga bersyukur hubungannya dengan Gavin masih kekal baik demi anak-anak dan berharap dapat melunaskan tanggungjawab kepada mereka dengan sempurna.
"Saya tidak bergaduh dengan Gavin dan Alhamdulillah hubungan kami baik demi anak-anak.
"Kami sama-sama komited untuk membesarkan anak-anak selain menjaga kebajikan mereka," jelasnya.
Serina dan Gavin berkahwin pada 1 Januari 2010 dan hasil perkahwinan selama tujuh tahun itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tristan Tareef O’luanaigh, 6 dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 5 tahun.