Kekal dengan matlamat asal, penyanyi Sean Ghazi terus mengangkat kembali karya Melayu klasik melalui single terbarunya, Gelora.
Sebelum ini, Gelora dirakamkan Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee dan isteri, Puan Sri Saloma menerusi filem Seniman Bujang Lapok, kira-kira 56 tahun lalu.
Bagaimanapun, keindahan lagu tersebut menyebabkan selebriti berusia 48 tahun ini merakam semula dalam versi sendiri.
“Sebenarnya, semua dah bermula ketika saya terlibat dalam pementasan teater muzikal P Ramlee pada 2007.
“Ia mengambil tempoh 10 tahun untuk merealisasikannya.
“Lagu ini juga merupakan comeback saya dalam industri selepas album, Semalam,” katanya kepada Media Hiburan.
Lebih istimewa, katanya, Gelora dirakamkan bersama penyanyi jazz dan pelakon teater, Ida Mariana.
Kata Sean Ghazi, hasrat berduet dengan rakan baiknya itumenjadi kenyataan selepas rakannya terlibat dalam konsert di Washington Park pada 2015.
“Jadi, kami bekerjasama dengan pemuzik di sana untuk hasilkan versi Gelora yang lebih menawan.
Lagu ini menonjolkan ciri gubahan ala fever oleh Stylo Mylos manakala muzik video diarahkan Tate Mario Ghazi yang bertanggungjawab menghasilkan Semalam dan Ku Mimpikan Bintang.
“Rakaman muziknya dibuat di Amerika Syarikat (AS), manakala rakaman vokal pula di AS dan Kuala Lumpur.
Berkongsi lagi keistimewaan lagu ini, katanya secara visual, video tersebut dirakamkan dengan warna, namun berlatarkan hamparan putih, memberi ilusi filem hitam putih kerana mahukan yang serba ringkas dan sederhana, tetapi tepat.
Bagi susunan muzik, Sean hanya mengetengahkan empat alat muzik iaitu gitar, bes, genderang dan organ hammond akibat kekangan bajet.
Walaupun hanya bereksperimen untuk menghasilkan versi bunyi yang tulen dan padat, ia menjadi sekali gus menggarap teras muzik pop Melayu dahulu yang diinspirasikan daripada muzik jazz vintaj dan ditambah pula dengan elemen muzik kontemporari.
“Lagipun, saya ingin beralih daripada cara orkestra yang dipaparkan dalam album pertama.
“Hasilnya, saya mendapat satu bunyi baru dengan barisan alat muzik yang sedikit tetapi mantap, berbanding sebuah orkestra penuh,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, ada sebab lain yang ingin diketengahkan menerusi Gelora iaitu membawa irama vintaj Malaysia ke peringkat global namun perlu ada usaha supaya khazanah itu dipulihara.
“Ada antara karya klasik kita yang seharusnya menjadi sebahagian daripada repertoir antarabangsa.
“Jika saya dapat memainkan peranan untuk menempatkan lagu klasik P. Ramlee sebaris dengan lagu seperti My Way, Sway dan Unforgettable, ia akan mengangkat martabat khazanah muzik negara agar terus hidup di persada dunia,” katanya.