Selepas enam bulan berehat akibat kemalangan di set penggambaran, bintang popular Hong Kong Andy Lau sudah sihat sepenuhnya untuk kembali bekerja.
Pelakon dan penyanyi berusia 55 tahun itu membuat kemunculan semulanya dengan menghadiri tayangan perdana filem lakonan terbarunya, The Adventurers di Beijing, China, Selasa lalu.
Turut hadir, pengarah Stephen Fung bersama barisan pelakon Jean Reno, Yo Yang, Sha Yi, Shu Qi dan Zhang Jingchu.
Ketika diminta berkongsi perkembangan terbaru kesihatannya, Lau memberitahu dia sudah boleh ketawa dan melompat seperti biasa.
“Saya sihat. Maaf kerana membuat ramai orang risau. Saya kini sudah boleh kembali aktif berlakon,” katanya.
Walaupun perlu menggunakan tongkat untuk bergerak, pelakon ini berkata, kehidupannya masih ceria dan kecederaan dialami tidak mematahkan semangatnya.
“Saya suka bekerja dan tidak sabar melihat apa yang bakal menanti sepanjang enam bulan akan datang,” katanya.
Pada Januari lalu, Lau terjatuh daripada kuda menyebabkan tulang pelvis retak di beberapa bahagian ketika menjalani penggambaran iklan komersial di Thailand.
Dia dinasihati berehat sepanjang 11 bulan dan terlantar di hospital selama dua bulan sebelum dibenarkan pulang pada 10 Mac.
Berikutan itu, Lau menangguhkan beberapa komitmen antaranya promosi filem Shock Wave dan konsert.
Filem The Adventurers yang kini hangat ditayangkan di pawagam mengisahkan tiga penjenayah bekerjasama untuk mencuri barang kemas bernilai tinggi, namun mereka diburu perisik Perancis.