Kepelbagaian watak menjadi penanda aras untuk seseorang selebriti menilai sejauh mana kebolehan mereka berlakon.
Tidak hanya statik dengan satu watak klise semata-mata, variasi peranan yang didukung menerusi sesebuah drama atau filem pastinya menjadi profil seni yang menguji kebolehan mereka.
Itulah prinsip aktor muda, Redza Rosli yang percaya peranan berbeza yang diberikan pengarah untuk menguji kebolehan melakukan yang terbaik.
“Alhamdulillah, sepanjang lebih empat tahun berlakon, saya sudah diberi macam-macam watak, daripada serius, komedi dan sebagainya. Cuma itulah, kadang-kadang ada peminat yang sudah selesa tengok kita berlakon sebagai lelaki ‘jiwang’ dengan kisah cinta. Jadi sebagai pelakon, saya tidak mampu tolak watak sedemikian kalau karyanya bagus.
“Kalau saya terima watak berbeza, saya cuba galas tanggungjawab itu sebaiknya. Lagipun, ada masanya kita perlu cabar diri," katanya.
Bagaimanapun, kata Redza jujur, dia akan cuba mendalami skripnya terlebih dahulu bagi melihat sejauh mana kemampuannya kerana tidak mahu menyusahkan pihak produksi.
Pelakon Seindah Takdir Cinta dan Ku kirim Cinta ini ditemui Media Hiburan di majlis pelancaran portal dan aplikasi penstriman video, tonton di Brunei Darussalam baru-baru ini yang turut disertai syarikat telco terkemuka di sana, DST.
Redza yang juga wajah portal tonton bersama Ayda Jebat berkata, kedatangannya ke Brunei adalah platform terbaik bertemu peminat.
“Syukur, sambutan yang diterima peminat Brunei begitu baik, malah saya tak sangka rupanya ramai yang memberikan sokongan terhadap penggiat seni dari Malaysia.
Jarang muat naik gambar di Instagram
Bintang berasal Subang Jaya, Selangor ini sejujurnya tidak mahu menjadikan kekerapan memuat naik gambar di media sosial contohnya, Instagram (IG) sebagai satu keperluan.
Bagi Redza, dia hanya akan memuat naik gambar di aplikasi itu apabila dirasakan perlu, contohnya update mengenai dirinya kepada peminat.
Pelakon ini turut mengakui dia bukan seorang yang gemar memuat naik gambar di Instagram dan menganggap perkara itu bukan satu rutin tapi hanya dilakukan jika dirasakan perlu.
"Apa pun, saya percaya sebagai selebriti, kita pun kena kongsi apa yang dilakukan untuk follower. Sebab mereka pun nak tahu juga apa yang kita buat,” terang Redza yang percaya, setiap selebriti itu ada cara tersendiri berinteraksi dengan peminat.
Cerita Redza lagi, baginya, setiap gambar tidak semestinya menjurus kepada peribadi.
"Saya ni jenis yang suka bercuti dan kalau ada gambar menarik untuk share, saya akan post di IG,” kata Redza yang kini sibuk di lokasi telemovie Fatonah Azali di samping Nad Zainal, Raja Azura dan Sharifah Sakinah.
Kata Redza, wataknya di dalam drama tersebut agak berat dan berbeza.