Puncak karier, cinta Song Joong Ki


Tidak dapat dinafikan aktor kelahiran Korea Selatan, Song Joong Ki antara nama yang sedang hangat bukan sahaja di negara kelahirannya tetapi di seluruh Asia.

Buktinya pada 9 Ogos lalu sekitar Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sesak teruk dengan kehadiran kira-kira 10,000 peminat apabila aktor itu bersama delegasi filem The Battleship Island, So Ji-sub dan Hwang Jung-min membuat kemunculan di panggung Golden Screen Cinemas (GSC) pusat beli-belah Pavilion sempena siri promosi filem berkenaan.

Lautan manusia yang setia menanti demi melihat wajah aktor kesayangan mereka dari dekat telah mencetuskan fenomena luar biasa sehingga mengejutkan kesemua pelakon filem tersebut.

“Saya berterima kasih dengan sambutan yang diterima dan tidak sangka begitu ramai peminat yang hadir pada sesi promosi filem ini di Pavilion. Melihat sambutan memberangsangkan itu, ia memberi petanda bahawa filem ini akan diterima dengan baik di Malaysia,” kata Joong-ki pada sesi sidang media yang berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Kejayaan yang diraih Joong-ki yang diraih hari ini bagaimanapun bukan datang bergolek, sebaliknya ia hadir selepas 10 tahun tanpa lelah berusaha menempatkan nama dalam bidang lakonan.

Namanya hanya meledak pada 2016 apabila membintangi drama popular, Descendants of the Sun lakonannya bersama bakal isteri, aktres Song Hye-kyo.



Sejak itu, kejayaan demi kejayaan hadir dan dalam sekelip mata. Joong-ki menjadi pujaan peminat seluruh Asia gara-gara watak Kapten Yoo Si-jin, seorang ketua tentera elit Korea Selatan dalam drama tersebut.

Cukup sinonim dengan watak tentera, Joong-ki kembali diberi kepercayaan memegang watak tentera pejuang kemerdekaan yang juga pasukan perisik bernama Park Moo-young dalam filem The Battleship Island.

“Imej tentera nampaknya sesuai dengan saya (ketawa). Namun, apa yang membuatkan saya menerima tawaran berlakon dalam filem itu adalah kerana kekuatan watak yang ditawarkan.

“Saya diperlukan untuk melengkapkan lagi cerita ini. Selepas membaca skrip, saya terus bersetuju. Biarpun ini kerjasama pertama dengan pengarah, Ryoo Seung-wan, bagi saya dia seorang sutradara yang cukup teliti dan hebat untuk sebuah filem aksi,” ujar Joong-ki.

Disoal tentang cabaran yang terpaksa dihadapi oleh barisan pelakon, jelas Joong-ki, filem berkenaan antara karya paling mencabar pernah dilakonkannya. Selain menjalani tempoh kajian selama empat tahun sebelum penggambaran bermula, para pelakon juga harus mempunyai ketahanan fizikal yang kuat.

“Ia sebuah filem yang sukar bukan sahaja untuk pengarah dan kru, tetapi juga barisan pelakon. Kami terpaksa mengurangkan berat badan untuk menunjukkan kesengsaraan sebenar yang dihadapi oleh buruh paksa di lombong arang batu.


Filem The Battleship Island yang akan ditayangkan pada 17 Ogos ini diambil daripada kisah benar 400 rakyat Korea yang menjadi buruh paksa semasa penjajahan Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

“Malah kami terpaksa menjalani penggambaran selama sebulan untuk menjayakan babak berdurasi 20 minit yang keluar di pawagam,” tutur Joong-ki yang tidak mahu berhenti berlakon sehingga ke hujung nyawa.

Realiti

Tidak hanya Joong-ki, kesukaran berlakon dalam filem berkenaan turut diakui oleh So Ji-sub yang memegang watak sebagai samseng jalanan. Biarpun terpaksa berlawan sepanjang masa dalam filem ini, namun cabaran utamanya adalah adegan ketika berada di dalam bilik mandi pekerja buruh paksa.

Dalam adegan tersebut, Ji-sub dan kesemua pelakon lelaki hampir berbogel dan hanya memakai seluar dalam.

“Adegan itulah yang paling sukar bagi saya. Saya hampir berbogel dan perlu menjayakan aksi bertarung di dalam bilik mandi. Memang cukup tidak selesa, tetapi selepas meneliti keperluan adegan tersebut dan realitinya, saya lakukan juga,” ujar Ji-sub.

Sementara itu, aktor Hwang Jung-min menjelaskan, meskipun terdapat ramai nama besar dalam filem berkenaan termasuk Joong-ki sebagai pelakon utama, apa yang membuai perasaan penonton sudah tentu kemunculan aktres cilik, Kim Su-an yang memegang watak sebagai anaknya.

“Lakonan Su-an cukup meninggalkan kesan, mungkin sebab itu pengarah mengakhiri filem ini dengan pandangan matanya yang penuh derita dan harapan,” kongsi Jung-min.

Sebagai pengarah, Seung-wan pula menjelaskan, walaupun ia sebuah filem yang sukar dan sarat dengan fakta sejarah, beliau perlu meneruskan penggambaran sehingga ke saat akhir demi mangsa The Battleship Island.

“Setiap kali kami menemui kesukaran dan jalan buntu ketika penggambaran, semangat mangsa The Battleship Island yang memberi kekuatan.

“Kesukaran kami hanya sedikit jika hendak dibandingkan dengan kesengsaraan yang dihadapi mangsa sebenar. Penderitaan mereka yang membuat saya, kru dan pelakon terus berjuang kerana ia bukan sebuah filem komersial semata-mata, tetapi sejarah yang pernah berlaku kepada rakyat Korea Selatan,” luah Seung-wan.


Joong-ki akan melangsungkan perkahwinan dengan aktres Hye-kyo iaitu gandingannya dalam drama Descendants of the Sun pada 31 Oktober depan.

Peribadi

Meninggalkan sebentar kisah filem The Battleship Island, media yang hadir pada pertemuan tempoh hari juga tertarik dengan kisah peribadi Joong-ki yang bakal menamatkan zaman bujangnya dengan aktres Song Hye-kyo pada 31 Oktober depan.

Biarpun tidak dibenarkan bertanya sebarang soalan peribadi, Kosmo! memetik temu bual terbaharu Joong-ki dalam program Entertainment Weekly yang disiarkan awal minggu ini.

Dalam temubual berkenaan, Joong-ki mengakui perubahan ketara yang berlaku dalam hidupnya sejak pengumuman perkahwinan itu dibuat. Dia telah menerima jutaan ucapan tahniah daripada orang sekeliling termasuk peminat.

“Sejak kebelakangan ini, ke mana sahaja saya pergi orang akan memberi ucapan tahniah. Tidak tahu ia untuk filem ataupun perkara lain. Walaupun agak pelik, saya menerimanya dengan baik,” ujarnya.

Joong-ki pada mulanya mengakui berasa cukup gementar untuk berdepan dengan khalayak memandangkan dia dan Hye-kyo merupakan pelakon terkenal. Namun, sangkaannya meleset apabila peminat menerima pengumuman perkahwinan itu dengan baik dan mendoakan kesejahteraan hubungan mereka.

“Saya masih ingat perasaan gementar ketika melamar Hye-kyo. Selepas dia bersetuju, saya begitu lega. Sebenarnya percintaan dan hubungan kami sebagai pasangan kekasih sama sahaja dengan orang lain.

“Bezanya hubungan kami meraih perhatian ramai. Kami juga mempunyai banyak persamaan dari segi minat dan kerjaya. Mungkin itu yang menyatukan kami,” kata Joong-ki.

Bagaimanapun perkahwinan Joong-ki dan Hye-kyo dilaporkan akan berlangsung secara tertutup. Hanya teman rapat dan keluarga sahaja yang akan menjadi saksi penyatuan cinta mereka berdua.

Post a Comment

Previous Post Next Post