![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh4Gz3pOY7DeXz0jY5Zpj8m9xSGziTL8WemE2OH2cdAScd2MOpeqozgsik37hTJr3FKn-GyxLfKqUgnJsnOVViu2CdxoRmmakNvrheHqar3dxDk4g0fTTzeDfnE31ZzxwEAJLt6SWbns7Mn/s1600/Nam+Joo+Hyuk.jpg)
Pelakon terkenal Korea Selatan, Nam Joo Hyuk, bakal singgah di Kuala Lumpur pada Oktober depan.
Malaysia terus menjadi destinasi persinggahan selebriti antarabangsa apabila model dan aktor popular Korea Selatan, Nam Joo Hyuk turut bakal berbuat demikian, Oktober depan.
Menurut kenyataan Galaxy Group kepada BH Online, bintang Prince in Moon itu dijadualkan mengadakan sesi jelajah Asia Tenggara bermula September ini dan Kuala Lumpur bakal menjadi persinggahan terakhir pada 21 Oktober depan.
Sesi bertemu peminat yang merangkumi acara gambar berkumpulan dan menandatangani autograf itu akan berlangsung di KWC StarXpo Centre bermula jam 6.30 petang.
Tiket berharga antara RM168 hingga RM588 dibuka kepada peminat sejak semalam.
Bagi peminat drama Korea, anak muda berusia 23 tahun itu mula memancing perhatian menerusi drama bersiri Who Are You: School 2015 iaitu setahun selepas menceburi arena seni.
Langkah Joo Hyuk semakin kencang, sekali gus terus memancing perhatian banyak produksi untuk membintangi siri popular seperti drama romantis baharu, Bride of the Water God.
Joo Hyuk akan memulakan jelajahnya di Bangkok pada 16 September disusuli Manila (23 September) dan Taipei (8 Oktober).