Nonny Nadirah tidak terdesak mahu suami orang


Pelakon Nonny Nadirah menafikan dakwaan dia menjalin hubungan dengan suami penyanyi Adira Suhaimi iaitu Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.

Nonny berkata, dia tidak tahu menahu dari mana lelaki beristeri dua itu mendapat nombor telefonnya sebelum mula menghubunginya hujung bulan lalu.

"Mungkin dia tidak tahu saya rapat dengan Adira. Jadi sebelum terjadi perkara lain, saya ambil langkah awal dengan memberitahu Adira mengenai sikap suaminya.

"Namun saya terkejut macam mana kenyataan mengatakan saya bercinta dengannya boleh keluar. Sedangkan kami tidak pernah kenal malah jauh sekali keluar dengannya," katanya kepada Harian Metro.

Nonny yang juga bekas bintang Akademi Fantasi musim kelima menegaskan dia tidak pernah meminta apa-apa daripada lelaki itu seperti yang didakwa.

Nonny juga dalam nada sinis menasihati lelaki itu agar memberi fokus kepada dua isteri dan anak.

"Saya belum terdesak sampai nak suami orang. Kalau nak tahu saya sudah mempunyai kekasih dan bakal berkahwin. Nasihat saya, dia sepatutnya kasihankan dua isteri dan anak-anak.

"Tidak cukup lagi dengan apa yang ada? Jangan anggap duit boleh beli segalanya. Berhenti buat cerita yang tidak betul," katanya.

Nonny berkata, kekasihnya turut membaca semua mesej yang dihantar lelaki itu.

Terdahulu, Adnan mengesahkan kebenaran khabar angin dia sedang rapat dengan seorang pelakon wanita bernama N yang juga berasal dari Sabah.

Menerusi kenyataan sama, Adnan memberitahu hubungan itu terjalin sejak beberapa bulan lalu, bagaimanapun berakhir selepas perkara itu diketahui Adira.

Post a Comment

Previous Post Next Post