Memey Suhaiza masih berlakon


Pelakon Memey Suhaiza, menjelaskan beliau belum lagi meninggalkan dunia lakonan walaupun banyak pihak beranggapan dirinya kini tidak lagi aktif dalam bidang seni.

Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 29, berkata ketika tawaran berlakon semakin kurang diterima, kerinduan terhadap lakonan pula semakin menebal dalam diri.

"Sebenarnya saya belum lagi berhenti berlakon. Cuma, ramai yang membuat andaian saya tidak lagi menerima tawaran kerana ingin fokus kepada bidang perniagaan dan keluarga.

"Bahkan, saya akui terasa rindu untuk berlakon apabila menonton lakonan lama kerana ia minat saya sejak dulu lagi. Begitupun, tawaran dihulurkan haruslah bersesuaian dengan imej saya yang berhijab dan status sebagai ibu serta isteri.

"Suami juga tidak menghalang minat saya untuk kembali aktif berlakon asalkan saya tahu menjaga batas dan tanggungjawab," katanya kepada BH Online.

Memey berkata, suaminya, Norman Hakim, 41, tidak pernah menghalang minatnya itu, sebaliknya sentiasa memberi dorongan jika beliau ingin meneruskan kerjaya seni.

Pasangan selebriti berkenaan berkahwin pada 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Darwishz Hakim, 4, serta Muhammad Dirkhriz Hakim, 2.

Menyentuh mengenai dunia perniagaan, Memey yang memiliki butik di Dataran Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, sejak Ogos tahun lalu bersyukur apabila usahanya itu membuahkan pulangan selesa.

Post a Comment

Previous Post Next Post