Lapor polis lindungi karya Syafiq Yusof


Penerbit filem Abang Long Fadil 2, Astro Shaw membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur hari ini apabila rakaman penuh filem berkenaan dimuat naik individu tidak bertanggungjawab di YouTube, semalam.

Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, laporan itu dibuat bagi mengesan individu terbabit selain melindungi hak cipta filem arahan Syafiq Yusof itu.

"Saya membuat laporan itu selepas diberitahu penerbitnya, Datuk Yusof Haslam mengenai hal itu semalam. Sebelum buat laporan polis, pihak kami melaporkannya kepada YouTube terlebih dahulu dan kemudian video itu dipadam.

"Bagaimanapun, laporan polis masih perlu dibuat memandangkan tindakan sebegitu tetap satu kesalahan jenayah. Ia sangat tidak adil buat penerbit mahupun pengamal filem jika jenayah sebegitu berterusan.

"Filem itu pun baru saja ditayangkan sejak 24 Ogos lalu. Sebelum ini kami ada membuat laporan terhadap penyebaran klip video 30 saat filem berkenaan tapi kejadian terbaru ini nyata lebih tidak bertanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, Najwa juga berharap dengan laporan itu akan membuka mata ramai pihak demi menangani jenayah sedemikian.

"Isu memuat naik rakaman penuh sesebuah filem ini agak baru. Memang sukar untuk mencari jalan penyelesaian membendung kes sebegini lebih lagi dengan kuasa sosial media sekarang.

"Bagaimanapun, kami berharap ia dipandang serius semua pihak dan bekerjasama untuk membanteras jenayah itu. Bukan saja badan berwajib bahkan pihak panggung wayang juga harus memperketatkan lagi kawalan dalam kalangan penonton," katanya.

Abang Long Fadil 2 adalah sebuah filem aksi komedi yang dibintangi Syamsul Yusof, Zizan Razak, A. Galak, Datuk AC Mizal, Wak Doyok dan an Tania Hudson.

Post a Comment

Previous Post Next Post