Perjalanan seni figura ini sudah bermula sedekad lalu. Namun entah kenapa, nama Mardiana Alwi tidak cukup dikenali ramai.
Hanya selepas membintangi drama bersiri Akadku Yang Terakhir dan Isteri Tuan Ihsan, barulah ramai menyedari kehadirannya di dalam industri seni.
Bagaimanapun, pelakon ini pasrah dan menganggap belum ada ‘rezekinya’ lambat dikenali walaupun sudah berlakon banyak drama.
“Lagipun, mungkin nama saya tercicir apatah lagi bakat baru dalam bidang lakonan juga semakin ramai dan bersilih ganti," ujarnya.
Mengakui kurang pendedahan di media dan tiada kisah sensasi, pelakon berusia 29 tahun ini berkata, dia tidak pernah berkecil hati sebaliknya sentiasa yakin pada rezeki-Nya.
“Saya tahu populariti itu penting, tapi kalau ada rezeki saya percaya ia tak akan ke mana. Tapi, bagi saya, biarlah bakat yang membawa saya dikenali masyarakat berbanding menjadi perhatian gara-gara gosip atau cerita sensasi,” katanya.
Pada masa sama, Mardiana bertuah kerana suaminya, Abdul Aziz Rahamat sangat memahami kerjayanya sebagai pelakon.
“Alhamdulillah, suami mengizinkan saya terus berlakon asalkan tahu menjaga batas sebagai isteri dan wanita berhijab.
Justeru, katanya, demi menghormati suami dia akan memastikan tidak akan terlibat dengan sebarang babak bersentuhan dan selalu berbincang dengan pengarah.
Lulusan Sarjana Muda Seni Persembahan Drama, Universiti Malaya ini sangat menitikberatkan dalam menjaga nama keluarganya sepanjang terbabit dengan dunia lakonan.
“Saya berlakon kerana minat dan setiap watak yang diterima haruslah dibuat dengan sebaik mungkin.
“Lagipun, saya selesa untuk bersederhana dalam apa juga perkara bahkan sentiasa yakin mampu popular dengan bakat lakonan yang dipersembahkan,” katanya.