Pelakon dan penerbit, Zizan Nin menyahut cabaran Johan dan isterinya, Ozlynn untuk menjayakan naskhah komedi spontan tanpa skrip buat julung kali menerusi program #TerobekRaya.
Zizan atau nama sebenarnya, Azizan Nin, 43, berkata, persediaan memahami karakter dan perwatakan banyak membantunya mengikut rentak pelakon lain yang rata-rata berpengalaman dalam arena komedi.
"Cabaran utama tentu saja menghidupkan watak spontan yang diberikan tanpa sebarang skrip. Sudah pasti persediaan awal, termasuk kajian watak, situasi serta karakter pelakon lain dapat melancarkan lagi suasana kerana semuanya secara spontan.
"Mungkin peringkat awal masih ada kekurangan saya. Kadangkala saya terdiam kerana seperti keliru. Jadi, dalam situasi seperti itu saya memilih untuk membiarkan saja barisan pelakon lain yang didominasi pelawak untuk menguasai sesetengah situasi," katanya.
Zizan yang kini lebih menumpukan perhatian terhadap tugasan penerbitan mengakui menerima pelawaan pasangan suami isteri berkenaan disebabkan mahu membantu kawan.
"Sebenarnya, kekangan masa membataskan saya untuk menerima tawaran itu. Tetapi, semangat untuk membantu rakan sendiri menebal. Johan dan Ozzlyn juga sanggup menunggu masa saya, membuatkan saya sedia menggalas tanggungjawab ini," katanya.
Program #TerobekRaya cetusan idea pelawak terbabit, yang juga diterbitkan di bawah produksinya, JWH Production disiarkan di saluran Astro First Eksklusif, bermula 23 Ogos lalu.
Selain Zizan, rancangan berdurasi 90 minit itu turut membariskan Tauke Jambu, Ani Mayuni, Riz Amin, Marsha, Beto Kusyairy dan Azhan Rani.