Benarlah kata orang, kemenangan yang diraih bukan tiket untuk melangkah dengan mudah. Cuma gelaran juara yang disandang membuka lebih banyak peluang untuk membuktikan keupayaan diri.
Merangkul gelaran juara Gegar Vaganza (GV) musim ketiga, Azharina Azhar tidak pernah berpeluk tubuh. Dia terus bekerja keras untuk memastikan kelangsungan kerjaya seninya.
Bukan wang ringgit atau populariti yang dicari, yang menjadi gari yang mengikat kakinya dalam industri muzik adalah minat dan semangat yang tidak pernah terhakis hatta sebesar zarah.
Katalah apa sahaja, dia masih gah berdiri atas tiket bakat nyanyian bertaraf antarabangsanya. Tidak sesekali dia menggunakan publisiti murahan untuk menjual nama di persada seni.
Peluang kedua yang diraih setelah bergelar juara digunakan sepenuhnya. Cuma entah apa silap, namanya tidak begitu menyerlah. Single baharu, Sekian Terima Kasih seolah-olah sukar menembusi pasaran.
Jika dinilai kredibilitinya, dia bukan calang-calang penyanyi. Berikan apa sahaja genre lagu, dia mampu mempersembahnya dengan cara sendiri. Cuma tidak tahu mana silapnya, percaturannya kurang menjadi.
“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Alhamdulillah, tawaran persembahan bersilih ganti sehingga saya tiada masa untuk berehat. Cuma mungkin lagu saya kurang menjadi kali ini.
“Pemilihan lagu sebenarnya sangat menekan kita. Kita sudah ada standard sendiri tetapi pada masa yang saya, kita tak boleh syok sendiri. Kita perlu mengkaji trend muzik sekarang.
“Cuma itu tidak bererti kita berubah seratus peratus. Kita harus berani mencuba sesuatu yang baharu. Kalau tidak kita akan kekal dalam kepompong. Tak terbang keluar,” katanya memulakan bicara.
Ditanya adakah kebanjiran penyanyi baharu memberi saingan, penyanyi berusia 32 ini menganggap kehadiran mereka sebagai satu sinar baharu untuk perkembangan dunia seni suara negara.
Yang membezakan mereka adalah tahap profesional dan pengalaman. Dia cukup senang hati melihat semakin ramai anak muda yang berani untuk mencuba nasib biarpun laluan yang harus ditempuh cukup payah.
“Ada yang kata penyanyi muda gerun dengan suara saya, itu hanya pendapat sahaja. Saya sangat menghargai kehadiran mereka. Idea dan suntikan yang lebih segar untuk industri kita.
“Saya pun kena sedar diri. Ini peluang kedua saya selepas menyepi untuk beberapa tahun. Sebab itu saya tidak pernah merasakan mereka sebagai saingan cuma saya boleh belajar daripada mereka.
“Trend muzik sekarang bukan macam dahulu, jadi saya kena tampil dengan idea baharu. Kita kena faham yang peminat mahukan dan pada masa sama kita kena pastikan diri kita juga tidak tersasar,” katanya.
Bakal tampil dengan single kedua, Seribu Cinta duet dengan Rizal Badila, anak jati Negeri Di Bawah Bayu ini sebenarnya sudah merakam 11 buah lagu baharu dan hanya menunggu masa untuk dilancarkan.
“Single hadiah kemenangan saya di GV belum siap tetapi ada beberapa lagu yang saya rakam sendiri. Saya perlu menyusun strategi supaya lagu-lagu tersebut berjaya mencuri hati peminat,” katanya.
Berkawan dengan usahawan Sabah
Berbicara soal kerjaya, kesibukannya sebagai penyanyi dan usahawan berjaya sedikit sebanyak membataskan dirinya untuk berehat. Kepadatan waktu bekerja membuatkan dia sedikit terasing dari laluan mencari cinta.
Diaju soalan tidakkah pintu hatinya kini sudah terbuka untuk cinta seorang lelaki, seraya tersenyum manis, penyanyi yang popular dengan lagu Elegi Sepi ini membuka kisahnya.
Mengakui kini dia sedang berkawan dengan seorang usahawan di Sabah, Azharina tidak mahu terlalu meletak harapan. Sembilan tahun hidup sendiri seakan-akan memberi trauma untuknya kembali berkasih.
Apatah lagi sakit yang ditanggung akibat kegagalan rumah tangganya sedikit sebanyak menyekat kemahuan untuk bercinta kembali mekar di hati. Cuma ada sesuatu yang berbeza dengan lelaki yang baru dikenalinya ini.
“Saya sudah bagi tahu awal-awal, memang tiada istilah bercinta dalam hidup saya. Saya perlukan seorang lelaki yang matang dan tahu menghormati saya, anak dan juga keluarga.
“Apabila si dia menyuarakan hasrat untuk berkenalan, saya membuka hati untuk memberinya peluang. Dia juga sudah bertemu dengan bapa dan anak saya. Tapi kalau ditanya soal kahwin, saya belum ada jawapannya.
“Yang saya boleh kongsi, si dia seorang yang santai dan matang. Mungkin kerana dia juga sudah berusia jadi pemikirannya sangat berbeza daripada lelaki-lelaki yang pernah mendekati saya, “ kata ibu kepada seorang anak angkat bernama Rahmad ini.
Ditanya adakah si dia merupakan suami orang, pantas dia menyangkal soalan itu. Dia sama sekali tidak akan bertaut kasih dengan suami orang. Menolak untuk hidup bermadu, dia akui sudah penat dikejar suami orang.
“Orang tak berani untuk mendekati tapi kalau yang berani itu semua saya tak mahu. Kalau dikira, mungkin sudah 39 cinta lelaki saya tolak. Saya sangat berhati-hati setelah gagal sebelum ini.
“Saya tidak mahu menipu dalam perhubungan. Saya juga tak boleh memaksa diri untuk mencintai orang lain, Cukup sekali saya terseksa dan tersakiti. Saya tak sanggup melukakan hati orang lain.
“Cuma doakan yang terbaik untuk saya. Jodoh itu rahsia Tuhan dan saya tidak boleh menolaknya. Siapa pun jodoh itu nanti, asalkan dia boleh membahagiakan saya dan keluarga itu sudah mencukupi,” katanya.