Izreen Azminda Rela Bermadu


Izreen Azminda lebih tumpukan masa bersama puteranya, Muhammad Adrian Umar, 4, berbanding memikirkan soal kahwin.

Pelakon Izreen memberitahu tidak salah jika seorang lelaki yang sudah bergelar suami ingin berkahwin lagi memandangkan dalam Islam tidak melarang mereka untuk mempunyai isteri seramai empat orang.

Namun, pemilik nama Izreen Azminda Aznam ini berkata, kelebihan tersebut diberikan kepada lelaki yang berkemampuan dari segi kewangan dan boleh berlaku adil terhadap wanita yang dikahwini.

Bagaimanapun, pelakon yang berasal dari Kangar ini juga tidak menolak jika satu hari nanti ditemukan dengan lelaki berstatus suami orang.

"Saya tak nak kata tidak pada suami orang. Takut nanti apa yang kita tak nak itu yang Allah akan berikan.

"Tak pasal-pasal apa yang kita cakap berbalik kepada kita sendiri pula.

"Cuma, apa yang boleh saya katakan jika lelaki itu mampu, tak salah untuk dia nak kahwin lain sebab sememangnya mereka boleh ada empat orang isteri," kata Izreen kepada mStar Online.


Adrian kini sudah beransur pulih selepas dijangkiti H1N1 pada Ahad lalu.

Izreen ditemui di majlis memperkenalkan duta produk pencuci lelaki dan perempuan keluaran DBI Healthy & Beauty di DBI Studio, Dataran Palma, Ampang pada Rabu.

Dalam pada itu, Izreen tidak terdesak untuk mencari pasangan hidup buat masa kini. Dia lebih tertumpu kepada anaknya iaitu Muhammad Adrian Umar yang sudah berusia empat tahun.

"Buat masa ini saya tidak terfikir untuk mencari pasangan lagi. Memang teringin nak kahwin tapi banyak lagi perkara yang saya perlu dahulukan.

"Baru-baru ini anak saya dijangkiti H1N1 dan ditahan wad selama empat hari dan apa yang berlaku membuatkan saya perlu ada dengan dia setiap masa.

"Sebab itu, biarlah saya uruskan anak dan jika ada jodoh, insyaAllah saya akan berkahwin sekali lagi," ujarnya.

Terdahulu Izreen pernah berkahwin dengan Muhammad Riza pada 31 Ogos 2012 dan berpisah pada 9 Jun 2014.

Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki.

Post a Comment

Previous Post Next Post