Kemunculan ramai penyanyi baru adalah satu perkembangan sihat, bagi memberi ruang pencinta muzik memilih genre lagu yang digemari.
Selain memberi ‘warna’ dalam industri, mereka adalah pelapis penyanyi senior sedia ada.
Bagi artis baru, usaha berpanjangan dan mengekalkan kualiti muzik menjadi resipi terbaik untuk terus bersaing dan kekal relevan.
Itulah yang diharapkan penyanyi muda, Farisha Irish atau nama lengkapnya, Farisha Asmadi yang kini mulai memancing perhatian ramai menerusi single sulungnya, Tak Malu.
Bagi bintang muda berusia 18 tahun ini, masih banyak yang perlu dipelajari mengenai pemilihan lagu, apatah lagi untuk single pertama yang memperkenalkan nama seseorang muka baru itu dalam industri.
“Sejujurnya, genre muzik yang fast bukan pilihan saya. Jiwa dan kecenderungan saya lebih kepada muzik pop yang mendayu-dayu. Bagaimanapun, saya tidak boleh menolak demand pendengar yang mahu lagu fresh dan catchy.
“Jadi bila ditawarkan rakam lagu Tak Malu, saya jadikan sebagai usaha untuk lebih maju dalam nyanyian,” katanya kepada Media Hiburan.
Menyifatkan pelawaan dari syarikat rakaman Sony Music sebagai satu rezeki terpijak, anak keempat daripada lima beradik ini juga tidak mampu menyembunyikan rasa cinta dan minatnya terhadap dunia nyanyian.
Farisha Irish - Tak Malu
Aktif mengacara, berlakon
Buktinya, gadis manis bertudung litup ini pernah menjadi naib juara Idola Kecil musim keempat dan mencuba bakat dalam Ceria Pop Star musim pertama.
Bakat penuntut Universiti Tekonolgi Mara kampus Alor Gajah, Melaka dalam pengacaraan tidak boleh dinafikan kerana kerana pernah menjadi pengacara untuk rancangan Nasi Lemak Kopi O selama dua tahun dan mengendalikan program ChiChi & ChaCha menerusi saluran Astro Ceria.
“Selain itu, saya juga ada berlakon beberapa drama. Cuma sekarang, keutamaan saya untuk lagu sulung. Alhamdulillah sejak dilancarkan pada Mac lalu, sambutan yang diterima begitu baik.
“Meski pada peringkat awal, pendedahan lagu tersebut agak kurang, tapi selepas promosi, sudah ada stesen radio tempatan yang memainkan Tak Malu. Kiranya ia satu signal yang baik dalam permulaan profesion saya sebagai penyanyi. Gembira bila dapat maklum balas positif,” katanya jujur.
Bercakap mengenai persaingan, gadis manis berasal dari Selangor ini tidak mahu meletakkan hal itu sebagai satu tekanan, sebaliknya menganggap satu cabaran dan perkara normal membaiki kelemahan serta keupayaan diri.
“Apa pun, setiap perkara itu jadikan satu pengalaman untuk lakukan yang lebih baik di masa depan,” terang Farisha yang kini sedang jitu mengatur langkah untuk merakamkan single kedua tidak lama lagi.
Lagu Hindi versi Bahasa Melayu
Berkongsi mengenai single kedua itu yang masih lagi pada peringkat perbincangan, Farisha memang tidak sabar mahu merakamkan lagu barunya itu.
“Semuanya masih lagi dalam peringkat perbincangan. Cuma apa yang boleh dikongsi, lagu itu nanti merupakan lagu Hindi yang digubah dalam versi bahasa Melayu. Saya ambil ini sebagai satu kepercayaan besar kerana meski masih baru, sudah ada pihak yang buka mata terhadap bakat yang saya miliki.
“Lagu tersebut merupakan single duet. Pun begitu, penyanyi lelaki yang menjadi rakan duet bukanlah dari satu label rakaman,” dedah Farisha yang turut berharap single pertamanya itu dapat diterima baik pendengar.