Selepas kejayaan lagu Anugerah Terindah, penyanyi, Black kini muncul dengan single terbaru, Sakit Ku Rasa.
Mengharapkan kejayaan sama Anugerah Terindah yang ditonton lebih tiga juta kali menerusi YouTube, selain turut muncul sebagai finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31 lalu, Sakit Ku Rasa yang menggunakan khidmat komposer, Zul 2by2 masih mengekalkan genre pop balad.
Lebih istimewa, lagu tersebut turut menampilkan kebolehan Black sebagai penulis lirik di samping Zul.
Menyifatkan lagu-lagu daripada genre pop balad cukup serasi dengan jiwa dan suaranya, Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah seperti yang dipetik berkata, dia cukup selesa menyanyikan lagu berentak sedemikian.
“Setelah melihat fenomena Anugerah Terindah, saya yakin ini adalah genre sesuai dan kena dengan suara saya. Tapi, saya tak nafikan ada yang bertanyakan kenapa tidak membawakan lagu yang lebih rancak.
“Sebelum ni saya pernah merakamkan lagu berentak lebih fast iaitu Rempuh bersama Tomok,” katanya.
Black Hanafiah - Sakit Ku Rasa
Kerjasama sulung
Bercakap mengenai kerjasamanya bersama Zul, Black mengakui teruja bekerja dengan komposer berbakat itu, apatah lagi ini kolaborasi pertama mereka.
“Seronok bekerja dengan Zul. Sepanjang proses menyiapkan lagu dan rakaman, dia tak berikan saya tekanan pun. Pada masa sama, kami juga banyak berkongsi idea menjadikan lagu ini penuh perasaan sekali gus mampu melekat di hati pencinta muzik tempatan,” jelas Black optimis.
Sementara itu, penggambaran muzik video lagu Sakit Ku Rasa dijangka dilaksanakan bulan ini.
Black yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti, Mentor sudah pun mempunyai rangkaian lagu-lagu yang cukup sinonim dalam kalangan pendengar, antaranya Aku Rindu Sayang Kamu, Mana Mungkin dan Drama King, bersama Meet Uncle Hussain.
Manakala lagu Teman Pengganti bersama Malique turut berjaya membawa penyanyi ini mara ke AJL ke-27.