Ezzaty Abdullah Jaga maruah suami


Ada getar yang menyelimuti tangkai hatinya.

Laut fikirannya ligat memikirkan reaksi audiens yang bakal melihatnya beraksi intim bersama Bront Palarae dalam filem Kau Takdirku yang akan menjengah pawagam pada 7 September ini.

Tambahan pula, khalayak kini begitu mudah memuntahkan aksara kata asal ada kejadian tidak molek daripada pandangan mereka.

Faktor bakal ditembak kiri dan kanan, dia pasrah menerimanya. Namun dia juga tidak akan betah membiarkan peluru kata itu berterusan menyakiti hatinya tanpa sebarang penyembuhan.

Hakikatnya, itu semua lakonannya tiga tahun lalu, di kala belum disunting penama Azwan Kombos apatah lagi berbadan dua yang sedang dialami pelakon Ezzaty Abdullah ketika ini.

“Masa itu saya belum berkahwin dengan Azwan. Malah, penggambaran filem itu juga dibuat pada tiga tahun lalu ketika saya masih solo.

“Cuma apabila diberitahu filem itu baru ditayangkan pada tahun ini, selepas tiga tahun berlalu, saya ada suarakan mengenai babak intim bersama Bront itu kepada Azwan,” ujar Ezzaty yang bersyukur kerana suami memahaminya.

Batas selepas kahwin

Menjadi seorang yang akur dan lebih menjaga batas selepas bergelar isteri, kata Ezzaty, Azwan ada menyuarakan hasrat untuk menonton filem berkenaan jika ia menerima respons positif.

“Dia ada cakap kalau filem itu dapat respons positif, baru dia akan pergi tengok. Tetapi saya tahu dia akan tetap pergi menontonnya. Sengaja dia bercakap begitu.

“Berhubung babak intim selepas berkahwin, walaupun Azwan tidak meletakkan syarat tetapi sebagai isteri saya kena tahu batas-batas. Kita sendiri yang letakkan batas itu untuk jaga maruah suami. Maka, tiada lagi babak berpelukan dan berpegangan tangan,” getus pelakon berusia 27 tahun itu sambil tersenyum makna.

Baru setahun melempar nasib dalam dunia hiburan, rezeki datang bergolek kepada Ezzaty apabila dilamar menjadi heroin filem buat pertama kalinya.

Maka, ketika itu apa yang terlintas di fikirannya hanya satu, buat sebaik mungkin demi menyerlahkan bakatnya, pada masa sama mengangkat martabat perfileman negara.

Bront banyak membantu

Disoal sama ada dia dieksploitasi atas nama karya seni, dia tersenyum sambil menggelengkan kepala.

“Sebenarnya babak intim di dalam Kau Takdirku tidak terlalu keterlaluan. Tidak sampai menggugat sensitiviti. Tambahan pula ia filem tentang cinta tragis yang meruntun jiwa dan emosi penonton,” jelasnya yang mengaku beruntung bergandingan dengan dua aktor hebat.


Ezzaty Abdullah mengaku bakal berehat sehingga bulan Mac tahun depan sebelum kembali menerima tawaran berlakon.

Di sebalik justifikasinya tentang babak intim dalam Kau Takdirku, wanita berasal dari Bentong, Pahang itu membuka cerita tentang dua aktor yang disifatkannya tidak sombong berkongsi ilmu.

“Bayangkan, saya ketika itu orang baharu yang baru pertama kali berlakon filem. Dapat pula watak berat yang sarat emosi, bahkan bergandingan dengan dua aktor hebat. Maka, saya dapat berasakan lakonan saya sangat teruk ketika penggambaran. Bagaimanapun, saya bersyukur apabila mendapat maklum balas positif daripada pengarahnya, Jason Chong dan juga pihak penerbit iaitu Grand Brilliance.

“Alhamdulillah, sepanjang penggambaran, semua pelakon dan kru banyak membantu terutama sekali Bront. Sebabnya, saya banyak babak dengannya. Perwatakan Remy pula lebih serius memandangkan dia bawa watak abang angkat saya, namun sehingga di luar set dia layan saya macam adik. Kami boleh berkongsi masalah,” katanya.

Rindu masuk set

Seri bahagia jelas terpancar di wajah Ezzaty. Sekitar empat bulan lagi, dia dan Azwan yang bernikah pada 16 Julai lalu bakal bergelar ibu bapa. Biarpun ia kedengaran biasa bagi sesetengah orang, tetapi ia merupakan nikmat baharu yang diraih Ezzaty selama 27 tahun dalam hidupnya.

“Sekarang saya sudah berehat daripada berlakon. Namun begitu saya sudah rindu sangat nak masuk set penggambaran semula. Maka, pada bulan Mac tahun depan, saya akan kembali menerima tawaran berlakon,” ujarnya yang dijangka bersalin pada Disember nanti.

Disoal tentang jantina anak yang dikandungkan, Ezzaty mengaku masih belum tahu.

“Kami tidak kisah sama ada dikurniakan anak perempuan atau lelaki, asalkan sihat. Cuma Azwan berasa saya mengandung bayi perempuan. Sementara saya pula, selalu bermimpi bayi lelaki,” ujarnya kini turut aktif menjalankan bisnes kecantikan dan kesihatan iaitu @vermillionmalaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post