Era kegemilangan muzik dangdut sekitar 90-an tidak hanya menaikkan nama seperti Amelina, Mas Idayu, Sheeda dan lain-lain, tetapi turut perkenalkan penyanyi dangdut berkumpulan, Eva.
Merupakan artis dangdut berkumpulan pertama di Malaysia, Eva dianggotai Linda, Izzu, Rina dan Mimi, di mana mereka perintis kewujudan kumpulan dangdut lain selepas itu.
Popular dengan lagu Bulan Cinta, Eva jadi kegilaan ketika itu malah laris persembahan pentas seluruh tanah air.
Mengimbas kembali perjalanan seni mereka, Linda yang juga anggota asal Eva memberitahu, bakat mereka dalam bidang nyanyian mula dikesan selepas menyertai program Sinaran Pasport Kegemilangan terbitan TV3 pada 1996.
“Ketika itu saya bersama seorang lagi anggota Eva iaitu Izzu dan dan rakan kami, Isma (AF) masuk program tersebut menerusi kumpulan May Girls.
“Menerusi program itu bakat kami dilihat Warner Music yang kemudian menawarkan peluang merakamkan album.
“Isma bagaimana pun menarik diri atas sebab tertentu menyebabkan saya dan Izzu perlu mencari dua anggota baru bagi memenuhi kehendak pihak syarikat rakaman untuk membentuk kumpulan Eva,” imbasnya.
Biarpun pada asalnya Linda dan rakan-rakan tidak cenderung irama dangdut, namun mereka ambil peluang ini untuk mencabar diri sendiri dalam membuktikan bakat yang dimiliki.
“Atas dasar percaya dengan bakat kami, syarikat rakaman mahu Eva bawa irama dangdut menerusi album pertama yang diterbitkan pada tahun sama kami tandatangani kontrak sebagai artis rakaman mereka.
“Jujurnya, kami tidak menyangka album pertama, Bulan Cinta dapat sambutan luar biasa, malah memperkenalkan nama kami di persada muzik tanah air dalam masa yang cukup singkat,” katanya yang merupakan ibu saudara kepada Aiman Tino.
Mewarnai industri muzik kumpulan-kumpulan wanita lain seperti Feminin, Elite, Res2, Freshie dan lain-lain, Eva percaya kelainan yang dibawakan dalam muzik mereka memberi kelebihan yang tersendiri.
“Biarpun Eva tampil dengan konsep muzik yang berbeza iaitu dangdut, kami tidak menyangka turut meraih perhatian serupa daripada peminat.
“Mereka tetap memberikan sokongan yang sama rata malah tidak membezakan kami berdasarkan genre muzik yang diwakili,” kata Linda.
Urus kerjaya seni anak
Selain Bulan Cinta, Eva juga turut dikenali menerusi lagu 1001 Cinta yang menjadikan album pertama mereka berjaya meraih jualan 40,000 unit sekali gus melayakkan mereka menerima anugerah platinum.
Disusuli beberapa album kompilasi Puteri Dangdut 1 & 2, Dang Dang Dut 1 & 2 dan Puteri Hindi yang turut mencipta kejayaan sama sehingga jualan cecah 200,000 unit.
“Pada era itu, pencapaian jualan album sangat penting untuk tentukan kedudukan seseorang artis itu dalam industri, malah pada masa yang sama juga menjadi ukuran kejayaan dan kerjaya seni mereka.
“Walaupun masih baru ketika itu, kami rasa bangga kerana diterima peminat. Paling penting mereka menyatakan sokongan mereka dengan membeli album.
“Kami juga sebenarnya bertuah ketika itu kerana bernaung di bawah Warner Music yang mempunyai pasukan kerja yang sangat bagus dalam usaha menaikkan nama kami dalam industri,” ujarnya.
Eva - Bulan Cinta
Berkongsi kenangan paling manis yang dilalui mereka, kata Linda, kejayaan Bulan Cinta menempatkan diri, sekali gus membawa Eva ke pentas Anugerah Juara Lagu pada 1996 adalah pengalaman yang begitu sukar untuk dilupakan.
“Melayakkan diri di Anugerah Juara Lagu merupakan pencapaian kami paling manis dan dikenang sehingga ke hari ini.
“Bayangkanlah kami berpeluang untuk bertanding di pentas berprestij bersama dengan nama-nama besar yang sudah ada pengaruh masing-masing,” imbas Linda.
Bagaimanapun Eva tidak sempat untuk tampil dengan album kedua biarkan album tersebut sudah dalam proses pembikinan kerana pihak syarikat rakaman tidak mahu mengambil risiko akibat kegawatan ekonomi serius melanda negara ketika itu.
“Sekitar 1999, negara alami kegawatan ekonomi sehingga beri kesan besar dalam industri muzik ketika itu.
“Pada masa yang sama, anggota Eva ketika itu juga bertemu jodoh membuatkan keutamaan kami ketika itu lebih kepada rumah tangga.
“Meskipun begitu, kami tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku kerana merasakan ia adalah sebuah perjalanan yang sudah diatur di mana kami perlu memberi keutamaan kepada kehidupan peribadi berbanding kerjaya seni ketika itu,” akuinya jujur.
Selepas lebih 12 tahun berehat daripada bidang seni, Linda kini kembali menyanyi, malah baru sahaja tampil dengan single terbaru, Bulan Rindu, selain bertindak sebagai pengurus kerjaya seni anak lelakinya, Haziq yang juga merupakan vokalis kumpulan Putera Band.
“Kalau minat menyanyi itu sudah sebati dalam diri, memang susah nak tinggalkan dan itu jugalah yang terjadi kepada saya menyebabkan saya membuat keputusan untuk kembali menyanyi.
“Sesekali saya akan bergabung dengan bekas anggota Eva yang lain jika ada permintaan atau acara yang sesuai untuk kami berkongsi pentas kerana biar pun menyepikan diri dari industri sebelum ini, kami sentiasa berhubung.
“Pada masa yang sama saya juga menguruskan kerjaya seni anak lelaki saya, Haziq yang turut mengikut jejak langkah saya dalam nyanyian apabila dia menganggotai kumpulan Putera Band sebagai vokalis,” kata ibu kepada empat orang anak ini.