Bukanlah nak berlagak kata Syamsul Yusof


Pelakon dan pengarah handalan Syamsul Yusof menjelaskan tindakannya memuat naik satu nota di akaun Twitter rasmi miliknya yang mengaitkan pelakon Redza Minhat bukan tujuan berlagak terutama selepas memenangi trofi Pengarah Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik Ke-57.

Bagaimanapun Syamsul,33, berkata, dia hanya mahu menyedarkan pelakon itu supaya tidak lantang mengkritik atau mempersoalkan kejayaan seseorang seperti yang pernah dia lakukan ke atas dirinya sebelum ini.

“Ini bukan soal lupa diri, tetapi saya ingin menegur jangan ingat kita lebih bagus daripada orang lain. Selain itu, jangan pernah rasa kita lebih hebat dan orang lain semuanya gagal. Prinsip saya mudah, kalau sesebuah filem itu berjaya, kita perlu hormat karya itu. Apa yang saya lakukan ini hanyalah untuk menyedarkan dirinya sahaja. Saya harap dia faham.

“Cuba contohi sikap pengarah hebat lain seperti Datin Paduka Shuhaimi Baba, walaupun menghasilkan filem seni, beliau tak pernah menghakimi karya orang lain,” katanya kepada Harian Metro.


Redza Minhat

Menurut Syamsul, sebelum ini Redza banyak mempertikaikan kejayaan filem arahannya termasuk karya lain yang berjaya di laman sosialnya sekali gus menimbulkan rasa kurang senang.

“Saya nak tanya berapa banyak filem dia dah buat? Tak tahulah kalau dia berada di kedudukan saya sekarang, bagaimanalah agaknya dia menilai hasil kerja orang lain. Kalau dia rasa apa dia buat itu adalah atas dasar hak kebebasan bersuara atau sekadar mengkritik, apa perasaannya jika saya buat perkara yang sama terhadap karyanya,” katanya.

Anak kepada Datuk Yusof Haslam itu turut diminta komen mengenai pendapat netizen yang menganggap tindakannya itu agak keterlaluan dan tidak wajar dipolemikkan di laman sosial, Syamsul berkata dia mengaku tidak dapat mengawal emosi ketika itu.

“Saya tahu seeloknya saya perlu bersabar dengannya tapi saya rasa cara ini adalah yang terbaik untuk menyedarkan dia,”katanya.

Terdahulu pengarah filem Munafik itu memuat naik satu nota di laman Twitter miliknya mempersoalkan kembali tindakan segelintir penggiat seni termasuk Redza Minhat yang didakwa tidak berpuas hati setiap kali memperolehi Kejayaan termasuk kemenanganya di Festival Filem Asia Pasifik Ke-57 kategori Pengarah Terbaik baru-baru ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post