Bea Rameshan masih aktif berlakon


Ketika hamil anak ketiga pada usia kandungan 8 bulan, dia tetap menjayakan telefilem.

Lama tidak muncul di kaca TV, pelakon Bea Rameshan, 29, menjelaskan dia tidak pernah bersara daripada bidang yang sudah sebatinya dengan dirinya itu.

Malah Bea yang popular menerusi drama Zahira dan Bunga-Bunga Syurga menegaskan dia masih aktif berlakon meskipun hamil lapan bulan.

Bagi pemilik nama penuh Rabiatul Balqis Rameshan ini, sejak mula membabitkan diri dalam bidang seni selepas menyertai program realiti Pilih Kasih, lakonan menjadi periuk nasinya.

“Saya tidak pernah berhenti berlakon. Mungkin kerana kurang tawaran menyebabkan orang fikir saya sudah bersara.

“Kebetulan ketika hamil jarak ketiga-tiga anak saya agak dekat menyebabkan orang fikir saya mahu fokus pada keluarga,” katanya.

Bea berkata, ketika hamil anak ketiga dan usia kandungan lapan bulan, dia masih menjayakan telefilem.

Malah selesai pantang Bea turut beraksi dalam telefilem Kelantan yang mengetengahkan kisah dunia makyung.

“Ketika Ramadan saya turut membintangi drama bersiri di TV3 tetapi ia lebih kepada episod berlainan cerita jadi orang tidak sedar kemunculan saya.

“Lagipun, Ramadan semua orang fokus beribadah terutama solat Tarawih,” katanya.

Bakal muncul dengan telefilem Bunga Lalang di TV1 pada Sabtu ini, Bea bergandingan dengan Afiq Muiz dan Erry Putra.

“Untuk telefilem ini pertama kali saya menjayakan watak protagonis yang sangat berat. Selain baik saya juga menjadi mangsa kekejaman seorang lelaki.

“Saya tiada masalah bawa karakter ini kerana untuk menjadi pelakon serba boleh, kita perlu mencuba semua jenis watak,” katanya.

Bea sebelum ini kerap diberikan watak gelap. Malah, dia mengakui watak sebegitu lebih memberi kesan kepada penonton.

“Sehinggakan ketika di luar apabila bertemu peminat, mereka akan teringat watak jahat yang pernah saya lakonkan.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah meletakkan sebarang had. Andai lebih banyak diberikan watak baik selepas ini, saya terima,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post