Keakraban Ariz Lufias daripada kumpulan Forteen dengan Zulin Aziz bukan lagi rahsia malah ada yang mendakwa kedua-dua artis sedang mencipta nama ini hangat bercinta.
Dalam kehangatan orang membicarakan hubungan terjalin di antara Ariz atau Saiful Ridzuan Abdul Hamid, dan Zulin, tiba-tiba mereka berdua dikatakan bersengketa.
Perkara itu disedari peminat Ariz dan Zulin apabila mereka sudah lama tidak lagi dilihat keluar atau menghabiskan masa bersama.
Bagaimanapun, baru-baru ini Zulin memuat naik ke laman instagramnya, mengatakan mereka bermain piano dan menyanyi bersama, sama seperti yang sering mereka lakukan sebelum ini. Malah Zulin dan Ariz juga mengadakan persembahan bersama-sama.
Ditemui baru-baru ini, Ariz akui memang dia dan Zulin ada sedikit terasa hati sehingga membuatkan masing-masing menjauhkan diri.
“Begitulah situasi apabila berkawan terlalu rapat. Ada waktu kita rapat dan ada waktunya kita jauh. Cuma apabila perkara ini berlaku, saya sendiri tidak selesa.
“Saya tidak mahu bergaduh antara kami memandangkan industri seni ini kecil. Nak lari mana pun, suatu hari nanti pasti bertemu,” katanya.
Pada waktu sama, katanya, apabila perkara itu berlaku ada antara peminatnya, serta peminat Zulin juga, yang tidak boleh menerima kenyataan.
Bercerita lanjut mengenai perkara yang berlaku di antara dia dan Zulin, Ariz yang kini banyak berlakon menegaskan, ia tiada kena-mengena dengan Zulin.
“Orang yang kenal Zulin tentu tahu dia bagaimana. Jujur saya katakan, Zulin sahabat yang sangat baik. Jadi saya tidak mahu isu yang ditimbulkan membabitkan keakraban kami boleh menyebabkan ia mengeruhkan keadaan.
“Tambah pula saya tidak sukakan ‘drama’. Sebagai lelaki, saya sangat ‘simple’. Kalau banyak drama timbul, saya akan angkat kaki. Tapi ingin saya tegaskan, ‘drama’ yang saya maksudkan itu bukan datang daripada Zulin, sebaliknya orang keliling,” katanya.
Kata Ariz, orang keliling yang dimaksudkan itu ialah apabila ada pihak yang cuba menimbulkan provokasi membabitkan hubungan baik yang terjalin di antara dia dan temannya itu.
“Saya rasa mana-mana lelaki pun apabila ada pihak cuba menimbulkan provokasi membuatkan mereka marah. Mereka bercakap seperti saya ini tidak mempunyai maruah diri.
“Cuma saya pula jenis orang yang tidak cakap banyak. Tidak mahu perkara berpanjangan dan sehingga boleh menyebabkan hati Zulin terluka, ada baiknya saya menjauhkan diri,” katanya.
Ariz juga akui, hanya masa yang boleh membuatkan mereka berbaik semula. Katanya, hati perempuan dan lelaki lain.
“Memang lelaki boleh sabar tetapi apabila sudah terluka, sakitnya sangat dirasai. Saya akui yang hati saya sangat keras dan untuk memulihkannya sudah tentu ia mengambil masa.
“Hampir setengah tahun juga kami tidak bertemu dan berjauhan. Apabila berjauhan, pastinya rasa rindu itu timbul. Berjauhan juga membuatkan saya terfikir, mengapa saya mahu bergaduh disebabkan mulut orang sedangkan Zulin tidak pernah buat salah apa-apa pun kepada saya,” katanya.
Katanya, selepas bertemu semula, dia dan Zulin meluahkan perasaan masing-masing dan cuba mengambil sikap buang yang keruh dan ambil yang jernih.
“Saya kembali senang apabila dapat bersama Zulin semula. Cuma bercakap soal jodoh itu, kalau ada, adalah. Kalau tak ada, kami tetap akan berkawan sampai bila-bila,” katanya.