Usahawan selebriti, Datuk Seri Hasmiza Othman meluahkan rasa terharu dengan video berbaur 'amaran' yang dihasilkan anaknya, Nur Edlynn Zamilleen atau lebih dikenali sebagai Cik B.
Menurut Hasmiza atau lebih popular dengan nama Datuk Seri Vida, Cik B memang seorang anak yang terlalu sensitif dan sentiasa akan melindungi dirinya.
"Saya tahu dia memang suka hasil dan edit video sendiri. Tapi tak sangka pula dia buat video sedang marah, siap pakai kostum ala perisai. Dia memang sangat protective," katanya kepada mStar Online.
Jelas Vida, video itu dihasilkan kerana Cik B naik angin dengan lelaki yang cuba mendampingi dirinya.
"Dia tahu saya tengah down sejak pelbagai cerita negatif mengaitkan nama saya baru-baru ini.
"Mungkin itu cara dia nak meluahkan perasaan yang terbuku di hati kepada mereka di luar sana yang cuba mengambil kesempatan untuk meraih populariti dengan mengaitkan nama saya," katanya.
Video yang dimuatnaik Vida di laman Instagramnya itu turut mendapat hampir 440,000 like.
Dalam video itu, Cik B memakai kostum ala perisai berserta cermin mata hitam seakan-akan memberi amaran kepada mana-mana lelaki agar tidak mendekati ibunya.
“Ini baju perisai saya. Muka saya macam siapa? Anda dah tahu.
“Jangan siapa-siapa berani dekat dengan mama, nak kahwin dengan mama. Saya tak bagi,” katanya.
Cik B berkata, mana-mana lelaki yang ingin mendampingi ibunya hanya sekadar mahukan perhatian dan kemewahan dimiliki ibunya.
“Siapa-siapa pun semua nak perhatian, nak duit. Saya tahulah!
“Kenapa nak kahwin dengan mak saya? Nak glamer, nak kaya, nak duit?," soalnya.
Sambil menggayakan kostum itu, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa Cik B bersedia melindungi ibunya.
“Saya dah jadi samurai dah, ada tengkorak, segala ni,” katanya.