Ketika abangnya terpalit kontroversi, penyanyi kelahiran Singapura, Aisyah Aziz ada berita gembira yang mahu dikongsi dengan peminat.
Membuang jauh kisah sensasi Aliff yang 'panas' dengan isu membabitkan pelakon Afifah Nasir, Aisyah teruja dicalonkan dalam sembilan kategori pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2017.
Ini bermakna bintang program realiti, Akademi Fantasia 2013 itu menerima pencalonan tertinggi daripada 19 kategori dipertandingkan.
Berkongsi rasa teruja, Aisyah, 23, tidak menyangka memperoleh pencalonan yang banyak.
"Apabila ibu hubungi dan maklumkan perkara itu, saya cukup terkejut. Tak sangka. Namun, saya memanjat kesyukuran.
"Saya takkan dapat pencalonan sebanyak ini tanpa sokongan peminat yang meminta lagu saya disiarkan.
"Tanpa mereka, lagu atau sesebuah produk seni tak akan ke mana," katanya kepada BH Online.
Antara lain, Aisyah tercalon dalam kategori Duo/Kumpulan Terbaik bagi Senyum Saja bersama-sama Haikal Ali; Kolaborasi Terbaik bagi lagu Tanda Tanya; Artis Terbaik (Wanita) bagi lagu Tanda Tanya dan Artis Paling Popular APM.
APM 2017 akan berlangsung di MES Theatre, Mediacorp pada 14 Oktober depan.