Melewati usia 50-an, pelakon senior, Aida Khalida mengakui hidupnya semakin tenang selepas memilih mendalami ilmu agama dan berhijab pada 2008.
“Alhamdulillah, ALLAH SWT memberi saya nikmat kehidupan yang sangat baik dan tenang. Syukur, inilah impian saya. Tiada apa yang diinginkan dalam kehidupan ini melainkan memperoleh ketenangan daripada-Nya,” katanya kepada Media Hiburan.
Bahkan, rezeki pemilik nama sebenar, Khalidah Adibah Ahmad ini semakin murah dalam arena lakonan.
Pun begitu, anak kelahiran Negeri Sembilan ini sentiasa peka sebelum menerima tawaran.
Kata Aida, dia tidak pernah memilih watak tetapi akan meneliti skrip termasuk batas pergaulan dan elemen sentuhan antara pelakon.
“Walaupun saya melakonkan watak ibu yang ada anak lelaki, saya akan pastikan ia tak bersentuhan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar kerana banyak teknik untuk menunjukkan kemesraan terutama dari segi body language,” katanya.
Dia juga tidak kesal menolak sebuah filem patriotik tahun lalu kerana wataknya sebagai isteri terpaksa bersentuhan dengan suami yang cedera parah.
“Takkan sebagai isteri, saya hanya membiarkan saja suami yang cedera tanpa memapah dia ke tempat selamat. Jadi, lepas berfikir semasak-masaknya dan ambil kira banyak perkara, saya buat keputusan menolak.
“Bagi saya itu bukan rezeki dan biarlah ia dilakonkan orang lain. Tuntutan watak isteri itu sangat berat. Lagipun, saya tak mahu menyusahkan produksi,” katanya.
Pada masa sama, pelakon filem Hijabista Ballet ini menyifatkan pembabitannya dalam bidang lakonan sebagai salah satu cara berdakwah kepada masyarakat umum.
“Saya berlakon boleh tapi kena jaga syariat. Jadi, selagi ALLAH SWT bagi rezeki, mesti ada sebabnya dan mungkin ini juga cara berdakwah,” jelasnya.
Aida juga sentiasa berfikiran lebih positif dalam menentukan hala tuju masa depannya.
“Selagi nyawa dikandung badan, saya selesa dan tenang meneruskan kehidupan dengan cara sendiri. Itu pilihan saya,” katanya.
#QuranHour: Usaha dekatkan diri dengan al-Quran
Meskipun sibuk, Aida juga tidak ketinggalan mengisi masa terluang mengikuti kelas pengajian agama daripada pelbagai medium.
“Kita perlu sentiasa pastikan ada ilmu agama supaya menjadi landasan kepada kita dalam mendekatkan diri kepada-Nya. Jadi, sebagai umat Islam, kita perlu belajar pelbagai ilmu.
“Saya juga bersyukur kerana ALLAH SWT masih sudi pinjamkan lagi umur kepada saya untuk membuat persiapan ke alam akhirat,” katanya.
Bukan itu sahaja, pelakon drama Khabar Dari Casablanca ini juga menyambut baik sambutan World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour yang julung kali diadakan tahun ini.
Katanya, secara tidak langsung, program kerohanian itu membantu memupuk perpaduan dan cintakan negara melalui pendekatan al-Quran.
Aida turut memuji program ini yang menggabungkan dua aktiviti serentak dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Al-Quran bukanlah sekadar dibaca, tetapi juga untuk dihayati, difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
"Saya pun masih belajar hukum tajwid supaya dapat baca al-Quran dengan betul,” ujarnya yang akan turut serta jika berkelapangan.
Sambutan World #QuranHour pada 9 Zulhijah 1438H jatuh pada tarikh sama negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-60.